Anda di sini

Macedonia-Greece tamatkan perbalahan nama

Advertisement
 Zaev bercakap semasa sidang media di bangunan kerajaan di Skopje, Macedonia kelmarin. — Gambar AFP
TAMATKAN PERBALAHAN: Zaev bercakap semasa sidang media di bangunan kerajaan di Skopje, Macedonia kelmarin. — Gambar AFP

ATHENS: Macedonia dan Greece kelmarin menyelesaikan perbalahan hampir tiga dekad apabila mereka bersetuju untuk memanggilnya Republik Macedonia Utara, manakala Skopje memuji “penyelesaian bersejarah” kepada pertikaian yang telah menyekat usahanya untuk menyertai Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Perdana Menteri Macedonia Zoran Zaev berkata kedua-dua pihak bersetuju untuk menamakan semula bekas republik Yugoslav itu selepas diplomasi intensif selama berbulan-bulan.

“Persetujuan telah dicapai. Kita ada penyelesai-an bersejarah selepas dua setengah dekad. Persetujuan kita termasuk Republik Macedonia Utara bagi kegunaan keseluruhan,” kata Zaev kepada pemberita di ibu negara, Skopje.

Greece sudah sekian lama membantah panggilan Mace-donia bagi negara jiran utaranya itu kerana ia mempunyai wilayah utaranya yang sendiri dengan nama yang sama.

Dalam kenyataan yang disiarkan oleh televisyen, Perdana Menteri Alexis Tsipras mengumumkan perjanjian itu sebagai “satu kemenangan diplomatik yang hebat dan peluang bersejarah yang amat baik” bagi rantau itu untuk menjalin “persahabatan, kerjasama dan pembangunan bersama”.

Macedonia berharap kejayaan menyelesaikan pertikaian mengenai nama itu dapat membantu membuka jalan baginya untuk menyertai EU dan NATO.

Namun perjanjian itu ma-sih perlu diluluskan oleh parlimen Macedonia dan lulus pungutan suara di sana, selain pengesahan dalam parlimen Greece.

Tsipras menegaskan kerajaan Macedonia perlu mendapatkan kelulusan parlimen, jika tidak “pelawaan NATO dibatalkan dan rundingan dengan EU tidak akan bergerak”.

Presiden Majlis Eropah Donald Tusk tweet sokongannya kepada persetujuan itu: “Terima kasih kepada anda, perkara mustahil tidak mustahil lagi.”

Pegawai Greece sebelum ini berkata senarai nama berpotensi termasuk “Macedonia Baharu” dan “Hulu Macedonia” tetapi selepas perbincangan selama berbulan-bulan “Macedonia Utara” dipilih.

Menteri Luar Greece Nikos Kotzias menyediakan draf perjanjian setebal 20 muka surat selepas rundingan demi rundingan diadakan dengan rakan sejawatan dari Macedonia, Nikola Dimitrov.

Tsipras berkata persetujuan itu akan menyatakan bahawa bahasa Macedonia mempunyai asal usul Slavik.

Kedua-dua kerajaan menghadapi kritikan sebelum kompromi dicapai dan kelmarin Presiden Macedonia Gjorge Ivanov menyuarakan kebimbangannya.

“Konsensus kebangsaan yang lebih luas diperlukan untuk mencari penyelesaian yang tidak akan menjejaskan maruah warga negara dan rakyat Macedonia,” kata Ivanov.

Beliau adalah rapat dengan parti nasionalis VMRO-DPMNE yang dikalahkan oleh Zaev dalam pilihan raya pada tahun lepas.

Pemimpin parti Hristijan Mickoski berkata beliau tidak akan menyokong perubahan kepada “nama Macedonia dalam perlembagaan”.

“Kerajaan menandatangani penyerahan kerana ke-tidakcekapannya (perdana menteri) untuk mengetuai rundingan dan beliau menerima setiap permintaan yang dibuat oleh Greece,” kata Mickoski.

Pada tahun ini beberapa protes yang dibuat terhadap sebarang persetujuan di Skop-je, selain di Athens dan kota raya kedua Greece, Thessaloniki, di utara negara.

Di Greece, seteru konservatif Tsipras, Kyriakos Mitsotakis, turut mengecam persetujuan itu sebagai satu “persetujuan yang buruk”.

“Penerimaan bahasa dan kerakyatan Macedonia merupakan pengunduran kebangsaan yang tidak boleh diterima,” katanya.

Menteri Pertahanan Greece Panos Kammenos, seorang rakan rendah perikatan yang berpendirian keras dalam kerajaan Tsipras, sebelum ini menolak cakap-cakap mengenai persetujuan, dan berkata Zaev “tidak mungkin” akan mendapatkan kelulusannya.

Skopje berharap untuk mendapatkan tarikh bagi memulakan rundingan me-ngenai keahlian EU di sidang kemuncak EU pada hujung Jun, dan pelawaan untuk menyertai NATO pada pertengahan Julai.

“Persetujuan bersejarah itu adalah kesaksian kepada diplomasi yang sabar selama bertahun-tahun, dan kesediaan dua pemimpin ini untuk menyelesaikan pertikaian yang sudah sekian lama menjejaskan rantau berkenaan,” Setiausaha Agung NATO Jens Stoltenberg menyebut dalam satu kenyataan.

“Ini akan meletakkan Skopje pada laluan untuk menjadi ahli NATO. Dan ia akan membantu untuk mengukuhkan keamanan dan kestabilan di seluruh rantau Balkan Barat,” ujarnya.

Ketua diplomatik EU Federica Mogherini berkata perjanjian itu “menyumbang kepada transformasi seluruh rantau tenggara Eropah”.

Athens sudah lama membantah nama negara jirannya itu dalam perlembagaan – Republik Macedonia – kerana ia bimbang ia akan membayangkan cita-cita wilayah.

Macedonia purba merupakan tempat lahirnya empayar Alexander The Great (Iskandar Zulkarnain), sesuatu yang menjadi kebangsaan orang Yunani (Greek) pada hari ini.

Namun di bawah bangsa Romawi, wilayah Macedonia telah diperkembangkan untuk merangkumi wilayah di negara moden Greece, Macedonia, Bulgaria dan Albania. — AFP

Advertisement