Anda di sini

Konsert jelajah MPO ke Sabah & Sarawak pada bulan ini

 Konsert MPO yang dijalankan pada tahun lepas di Sabah dan Sarawak.
AKAN KEMBALI: Konsert MPO yang dijalankan pada tahun lepas di Sabah dan Sarawak.

BAGI menyambut Hari Ulangtahun ke-20 Orkestra Filharmonik Malaysia atau Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) pada tahun ini, pihaknya membawa kembali keunggulan muziknya dalam sebuah siri konsert jelajah ke Sarawak dan Sabah dalam bulan ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh penaja emas untuk konsert jelajah MPO ke Sabah dan Sarawak, Malaysia LNG Sdn. Bhd. dan Conoco Phillips Asia Pacific Sdn. Bhd ini merupakan kali keempat siri konsert jelajah itu diaadakan di Sabah dan Sarawak.

Mengikut rekod pihaknya, konsert yang pertama telah diadakan pada tahun 2002 di Kuching, tahun 2003 di Kota Kinabalu, diikuti dengan satu lagi siri konsert ke kedua-dua buah negeri pada tahun 2011.

Rasakan sekali lagi kehebatan dan keasyikan muzik klasikal MPO membawakan karya-karya agung seperti sedutan dari Carmen and L’Arlésienne Suites ciptaan Bizet, dan Overture from Russlan and Ludmilla (ciptaan Glinka).

Tidak dilupakan karya-karya tempatan seperti ‘Cindai’, ‘Getaran Jiwa’ dan ‘Mercu Kegemilangan’, yang dicipta khas untuk MPO sempena ulang tahunnya yang ke 20 tahun itu.

Acara kemuncak konsert tersebut ialah Piano Concerto No.1 ciptaan Tchaikovsky yang bakal menyaksikan MPO berkolaborasi dengan pemain piano muda, Tengku Irfan.

“Beliau bukanlah wajah asing kepada peminat-peminat tegar muzik klasikal di negara ini. Setelah mengagumkan penonton dengan improvisasi ‘cadenzas’ yang hebat di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) pada tahun 2009, Irfan terus melakar kejayaan gemilang dalam bidang seni muzik,” katanya.

Irfan pernah memenangi anugerah-anugerah berprestij di Aspen Prokofiev Piano Concerto No.2 Competition, ASCAP Charlotte Bergen dan ASCAP Morton Gould Young Composer, dan membuat persembahan bersama orkestra seperti Singapore Symphony, São Paulo State Youth Orchestra dan Juilliard Orchestra.

Sebelum siri konsert jelajah itu, Irfan telah menyertai siri konsert jelajah MPO ke Ho Chi Minh dan Hanoi pada tahun 2013, dan memimpin Orkestra Remaja Filharmonik Malaysia (atau Malaysian Philharmonic Youth Orchestra) di DFP pada Disember tahun lepas.  

Konsert di Kuching akan berlangsung pada Rabu, 27 Jun ini bermula jam 8.00 malam di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri Sarawak, Petrajaya.

Sementara, Konsert di Kota Kinabalu akan berlangsung pada Sabtu, 30 Jun jam 8.00 malam di Auditorium Tun Ahmad Raffae, Menara Tun Mustapha.  

Semua konsert bakal dipimpin oleh Konduktor Residen MPO Naohisa Furusawa.

Tiket-tiket berharga RM60, RM110 dan RM160, dan boleh didapati di Century Music School (082-233901/016-8858822) dan Wah Lee Hong Music (082-451551) untuk konsert di Kuching.

Bagi konsert di Kota Kinabalu, tiket-tiket boleh dibeli di Music Mart – The Rock School (088-232629/088-262929), Sri Pelancongan Sabah (088-232121) dan Wah Lee Hong Music, Sabah (088-448188).

Terus teguh dalam komitmen berkongsi keindahan muzik kepada masyarakat, MPO akan melakukan program komuniti di Hospital Umum Sarawak pada 26 Jun.

Pemuzik-pemuzik MPO juga akan menghiburkan pesakit-pesakit di Hospital Likas dan penghuni Sabah Cheshire Home di Kota Kinabalu pada 29 Jun.

MPO juga akan mempersembahkan konsert untuk murid-murid sekolah di setiap negeri pada jam 3.00 petang dan 4.30 petang pada tarikh yang disebutkan.

Tiket berharga RM10 dan konsert terbuka itu adalah untuk sekolah rendah dan menengah.

Sekolah-sekolah yang berminat sila hubungi Jabatan Pendidikan & Luaran MPO di 03-23319176 atau email shireen.jasin@mpo.com.my.