Anda di sini

Kecederaan ‘kecil’ yang dialami Rashford tidak resahkan Southgate

Advertisement
RASHFORD
RASHFORD

REPINO, Rusia: Penyerang Marcus Rashford memerlukan penilaian tahap kecederaan beliau keesokan harinya, menurut jurulatih kebangsaan England, Gareth Southgate ketika pasukannya tiba di Rusia untuk Piala Dunia 2018 Selasa lepas.

Rashford menyerlah dengan gol pembukaan cantik pada perlawanan persediaan Piala Dunia menentang Costa Rica minggu lepas tetapi England berharap beliau cergas untuk perlawanan pembukaan England di Rusia menentang Tunisia pada hari Isnin dengan Southgate menggambarkan kecederaan penyerang kelab Manchester United itu sebagai ‘kecil’.

“Marcus mengalami kecederaan ringan, tetapi tiada terlalu serius, jadi kami harus melihat situasi ini pada sesi latihan esok, yang terbuka untuk ditonton semua orang,” kata Southgate kepada penyiaran BBC setiba pasukannya St Petersburg.

“Tetapi selain dari itu, semua orang tiba dengan cergas. Sepanjang tiga minggu, kami benar-benar gembira untuk melihat kesemua 23 pemain mengharungi semua sesi latihan.”

Selepas tiba di St Petersburg, England bergerak ke bandar raya Repino, 45 kilometer dari Saint Petersburg di mana mereka akan membuat persediaan untuk perlawanan pembukaan menentang Tunisia pada hari Isnin.

England juga akan menentang pendatang baharu kejohanan, Panama dan antara pasukan pilihan kejohanan, Belgium dalam aksi Kumpulan G.

“Kami sangat teruja untuk berada di sini. Kami hanya mahu meneruskan perjalanan dan membuat persediaan sebelum perlawanan,” kata kapten England, Harry Kane.

“Ia satu pertandingan Piala Dunia – akan sentiasa ada tekanan, debaran dan keterujaan.

“Bagi kami, ia tentang bekerja keras dan berlatih sehingga perlawanan, selepas itu bolehlah bergembira sedikit.”

England tiba di hotel penginapan mereka dengan kawalan ketat dan liputan media meluas.

Bagaimanapun, terdapat hanya sejumlah kecil penduduk tempatan mengalu-alukan pasukan di pangkalan mereka selain sekumpulan kecil kanak-kanak mahu melihat barisan bintang Liga Perdana Inggeris.

Tersingkir di pusingan pertama Piala Dunia 2014 dan dimalukan di pusingan kedua Euro 2016 kepada Iceland mengurangkan jangkaan England untuk menamatkan penantian memenangi Piala Dunia yang pertama sejak 1966.

Bagaimanapun, aksi memberangsangkan ketika menewaskan Nigeria dan Costa Rica dalam perlawanan persahabatan memberikan sedikit harapan di mana England mungkin boleh memenangi perlawanan di pusingan kalah mati buat kali pertama dalam mana-mana kejohanan sejak 12 tahun.

“Kami berharap kami memastikan penyokong pergi bekerja dengan rasa gembira selepas menonton perlawanan kami. Saya tahu ia adalah pengalaman yang dimahukan pada kejohanan seperti ini dan kami terdesak untuk memastikan ia berlaku.” — AFP

Advertisement