Anda di sini

Kapal bawa ratusan pendatang belayar ke Sepanyol

 Pendatang dilihat di atas kapal Pengawal Pantai Itali ‘Diciotti’ di pelabuhan Catania, Itali semalam. — Gambar Reuters
BERHIJRAH: Pendatang dilihat di atas kapal Pengawal Pantai Itali ‘Diciotti’ di pelabuhan Catania, Itali semalam. — Gambar Reuters

ROM: Ratusan pendatang yang terkandas selama berhari-hari di atas sebuah kapal bantuan di Laut Mediterranean kerana Itali dan Malta enggan mengambil mereka kelmarin belayar ke Sepanyol selepas dipindahkan ke dua kapal lain.

Penyelamat memberi amaran tentang keadaan cuaca semakin buruk yang dihadapi 629 orang terbabit – termasuk wanita hamil dan puluhan kanak-kanak – yang telah dipadatkan di atas kapal Aquarius sejak diselamatkan dari laut di luar pantai Libya pada hujung minggu lepas.

Dengan makanan dan air minuman yang semakin berkurangan, mereka mungkin dapat bertahan selama tiga atau empat hari lagi sebelum mereka akhirnya dapat mendarat di pelabuhan Valencia, Sepanyol, menurut badan kebajikan Perancis, SOS Mediterranee, yang mengendalikan kapal terbabit.

“#Aquarius sudah belayar ke #Valencia pada 2100 sama seperti kapal #Dattilo dan #Orione, ketiga-tiga kapal membawa 630 orang yang diselamatkan 72 jam lalu,” tweet SOS Mediterrannee lewat kelmarin, yang merujuk kepada dua kapal rasmi lain dari Itali yang terlibat dalam operasi itu yang menyaksikan mereka belayar sejauh 1,500 kilometer.

Sepanyol masuk campur untuk membantu selepas Itali – yang berada di barisan hadapan dalam krisis migrasi di Itali – dan Malta enggan membenarkan kapal Aquarius untuk mendarat walaupun menerima tekanan yang kuat daripada masya-rakat antarabangsa.

Pendirian Itali telah mencetuskan perang lidah dengan sekutunya di Eropah, dan Perancis khususnya menuduhnya “tidak bertanggungjawab”.

Doktor dari sebuah lagi badan kebajikan Perancis, MSF (Doktor tanpa Sempadan), membantu merawat pendatang, yang termasuk tujuh wanita mengandung, 11 kanak-kanak kecil dan 123 budak bawah umur yang tidak diiringi orang dewasa. Kebanyakan mereka berasal dari Afrika.

Perdana menteri baharu Sepanyol, Pedro Sanchez, telah menawarkan pelabuhan selamat bagi kapal berkenaan, dan berkata mereka ada “kewajipan moral untuk membantu mengelak malapetaka kemanusiaan”.

Anelise Borges, seorang wartawan Euronews di atas kapal Aquarius, memberitahu AFP ramalan cuaca meramalkan ombak setinggi dua meter.

“Jika pun keadaan OK, dan kita pergi hanya dengan 100 orang sahaja di atasnya, ia mungkin akan memakan masa tiga, tiga setengah hari untuk sampai ke Sepanyol,” ujar Borges.

Ini bermakna pendatang sudah berada di laut hampir selama seminggu pada waktu mereka tiba di Valencia nanti.

Borges berkata mereka sudah di laut selama 20-30 jam sebelum diselamatkan, dan mereka rasa tegang.

“Semalam mereka memberitahu orang di atas kapal bahawa ada kemungkinan kami tidak akan pergi ke Itali tetapi kami belum tahu ke mana kami akan pergi dan sudah tentulah orang menjadi takut,” katanya.

“Seorang lelaki mengugut untuk terjun dari bot, dengan menyatakan dia tidak mahu pulang ke Libya, bagi sege-lintir orang, prospek untuk pulang ke negara asal amat, amat menakutkan.”

Menteri Dalam Negeri Itali Matteo Salvini berkata beliau akan pergi ke Libya – tempat pelepasan bagi ramai pendatang dan pelarian yang menyelamatkan diri daripada peperangan dan kemiskinan di Afrika dan Timur Tengah – pada hujung bulan ini.

“Situasi ini perlu diselesaikan di benua Afrika,” kata Salvini, anggota kerajaan populis baharu yang menjanjikan pendirian yang lebih tegas mengenai imigresen.

Beliau mahu mengurangkan jumlah pendatang yang tiba di Itali – sesuatu yang sudah dicapai oleh menteri sebelumnya menerusi perjanjian yang dimeterai de-ngan pihak berkuasa Libya – dan pada masa yang sama mempercepatkan pengusiran “pendatang tanpa izin”.

Salvini beberapa kali me-nuduh badan kebajikan bekerjasama dengan pedagang manusia  tetapi berkata Itali tidak akan berhenti menyelamatkan bot pendatang.

“Kami sudah menghenti-kan NGO (badan bukan kerajaan). Pasukan pengawal pantai dan tentera laut boleh meneruskan usaha untuk menyelamatkan nyawa, tetapi negara lain mesti terus membantu kami.”

Beliau berkata sebuah kapal pengawal pantai Itali dijangka berlabuh di Sicily dalam masa beberapa jam lagi dengan membawa kira-kira 937 pendatang, yang turut dise-lamatkan di perairan Libya.

SOS Mediterranee menegaskan ia akan meneruskan aktiviti menyelamat selepas kapal Aquarius sudah kembali dari Sepanyol.

Presiden Perancis Emmanuel Macron menyelar Itali kerana sikapnya yang “tidak bertanggungjawab” dalam cara yang menangani krisis itu.

Ketua Pengarah Pertubuhan Migrasi Antarabangsa William Lacy Swing memuji tawaran Sepanyol.

Namun beliau memberi amaran: “Saya bimbang mengenai tragedi besar jika kerajaan mula enggan menerima pendatang yang diselamatkan seperti yang diancam.”

Di bawah peraturan Kesatuan Eropah, pendatang mesti memohon suaka di negara Eropah di mana mereka pertama kali tiba. — AFP