Anda di sini

Jualan Jimat Belanja Aidilfitri tangani kenaikan harga barang

Advertisement
 Ahmad (tengah) menunjukkan cili merah yang termasuk dalam harga kawalan selepas melancarkan Program Jualan Jimat Belanja sempena Hari Raya Aidilfitri di Pasar Tani Batu 4, Port Dickson semalam. — Gambar Bernama
DIKAWAL: Ahmad (tengah) menunjukkan cili merah yang termasuk dalam harga kawalan selepas melancarkan Program Jualan Jimat Belanja sempena Hari Raya Aidilfitri di Pasar Tani Batu 4, Port Dickson semalam. — Gambar Bernama

PORT DICKSON: Program jualan khas seperti Jualan Jimat Belanja Aidilfitri (JJBA) di pasar tani Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) diadakan selaras dengan hasrat kerajaan menangani kenaikan harga barangan keperluan di pasaran terutama menjelang musim perayaan.

Ketua Pengarah FAMA Datuk Ahmad Ishak berkata pasar tani khas yang diwujudkan sejak 8 Jun hingga hari ini di 724 pasar tani di seluruh negara ini diharap menjadi pilihan utama kepada pengguna untuk mendapatkan barangan keperluan bagi menyambut Hari Raya.

“Program jualan khas seumpama JJBA ini telah lazim dianjurkan...ia dapat memberikan impak dan faedah kepada langkah penjimatan terhadap para pengguna yang berbelanja di pasar-pasar tani khususnya.

“Selain barangan segar seperti daging, ayam dan sayur-sayuran, pengguna juga berpeluang untuk mendapatkan bekalan juadah Aidilfitri seperti ketupat, rendang, lemang dan kuih-kuih raya yang turut dijual di pasar tani.

“Ia dapat menjadi ruang pilihan yang lebih baik berbanding dengan pasar awam, pasar raya, pasar raya besar dan kedai runcit sedia ada kerana barangan seperti ayam, daging, ikan dan sayur-sayuran yang ditawarkan di pasar tani adalah jauh lebih segar, berkualiti dan dijual dengan harga yang berpatutan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran program JJBA oleh Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Danyal Balagopal Abdullah di Pasar Tani Batu 4 di sini, semalam yang turut dihadiri Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA Mohd Anis Mohd Yasin dan Pengarah FAMA negeri Muslim Manja.

“Program JJBA adalah program ‘Sentuhan FAMA Di Hati Rakyat’ yang menawarkan harga 27 jenis barangan keperluan makanan terpilih seperti ikan, ayam, sayur-sayuran dan barangan runcit pada kadar lima hingga 20 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran. Selain itu, ia menyediakan keperluan yang mencukupi bagi memenuhi permintaan yang tinggi pada musim perayaan.

“Program ini diyakini memberi manfaat besar kepada masyarakat di seluruh negara dan pastinya memberi kesan langsung dalam membantu mengurangkan beban perbelanjaan rakyat.  Ia juga diharap menjadi pesaing dan akan mempengaruhi peletakan harga runcit di pasaran semasa pada kadar harga yang lebih berpatutan,” katanya.

Sementara itu, Muslim berkata program JJBA dilaksanakan di tujuh pasar tani di negeri ini iaitu pasar tani Rembau; Paroi Jaya (Seremban); Batu Kikir (Jempol); Palong 4, 5 dan 6 (Gemas); Ampangan (Seremban); Batu 4, Port Dickson dan Tampin. — Bernama

Advertisement