Anda di sini

Jerman tiba di Moscow dalam misi pertahan kejuaraan

Advertisement
 Loew (tengah) menerangkan sesuatu kepada pemainnya pada sesi latihan di Stadium Vatuinki, Rusia kelmarin. — Gambar AFP
JUARA BERTAHAN: Loew (tengah) menerangkan sesuatu kepada pemainnya pada sesi latihan di Stadium Vatuinki, Rusia kelmarin. — Gambar AFP

MOSCOW, Rusia: Jerman tiba di Moscow Selasa lepas untuk cuba mempertahankan kejuaraan Piala Dunia dan berharap melupakan kontroversi politik menyelubungi dua pemainnya, Mesut Ozil dan Ilkay Gundogan.

Hasratnya jelas – Jerman mahu menjadi pasukan pertama dalam tempoh 56 tahun yang berjaya mempertahankan kejuaraan mereka.

“Kami mahu menulis sejarah,” kata pemain tengah Jerman, Toni Kroos.

Jerman berlepas dari Frankfurt ketika hujan dan dengan harapan kapten pasukan yang juga penjaga gol, Manuel Neuer akan terus cergas selepas lapan bulan berehat ekoran kecederaan kaki

Persediaan perlawanan diselubungi kontroversi melibatkan Ozil dan Gundogan selepas kedua-dua pemain yang mempunyai asal usul dari Turki, diejek semasa perlawanan persahabatan Piala Dunia kerana bertemu dan bergambar dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.

Erdogan bertemu dengan dua pemain itu di London bulan lepas dengan Gundogan menyerahkan jersi kelab (Manchester City) dengan tandatangannya kepada Erdogan yang bertulis “kepada presiden saya”.

Penyokong Jerman melihat ia satu kerapuhan kesetiaan kepada Jerman dan mencemuh beliau semasa perlawanan persahabatan di mana Jerman tewas 1-2 kepada Austria.

Gundogan berkata pertemuan itu tidak bermotif politik sementara Ozil enggan bercakap mengenainya semasa Piala Dunia.

“Ini adalah kenyataan beliau, saya fikir kami akan mengekalkan status ini,” menurut pengurus pasukan, Oliver Bierhoff semasa kem latihan di Jerman.

“Sama ada ia betul atau salah, ia perkara lain,” tambah Bierhoff yang berkata beliau tidak melakukan secara sengaja tetapi mungkin terlalu “lurus”.

Apa pun, Jerman tiba dengan persediaan rapi dan akan membawa 26 set jersi di antara 12 tan peralatan yang tiba di Rusia.

Jerman sedar mereka adalah pasukan yang harus ditewaskan di Rusia dan jurulatihnya, Joachim Loew berkata semua lawan mereka sudah meningkatkan prestasi.

“Akan ada saingan yang kuat dari lawan kami. Sepanyol sudah meningkat sementara Brazil dan Argentina juga tidak kurang hebat.”

Jerman hanya menang sekali dari enam perlawanan persahabatan terakhir tetapi persediaan hambar, fokus utama ialah perlawanan pembukaan mereka menentang Mexico di Moscow pada hari Ahad.

“Perlawanan pertama kumpulan sentiasa sangat penting, kerana ia memberi kesan besar kepada perlawanan seterusnya,” kata penyerang veteran Jerman, Thomas Mueller. — AFP

Advertisement