Anda di sini

GPS platform politik baharu selaras aspirasi, kehendak rakyat Sarawak

 

KUCHING: Melalui gabungan politik baharunya, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Kerajaan Negeri akan menyesuaikan pentadbirannya mengikut kehendak dan aspirasi rakyat.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, di samping mempertingkatkan ketelusan tadbir urus negeri ini dalam gagasan kerjasama antara parti yang lebih mantap.

"Pilihan Raya Umum sudahpun selesai dan rakyat telahpun membuat keputusan untuk memberi mandat kepada Kerajaan baharu untuk mentadbir negara.

"Ekoran perubahan kepada landskap politik negara, parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak telah membuat keputusan untuk keluar daripada gagasan Barisan Nasional dan bergabung dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS)," katanya dalam perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri 2018 di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, selaku pengerusi kepada GPS, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada BN atas jalinan persefahaman dan kerjasama yang terbentuk untuk sekian lama.

Katanya, langkah untuk mewujudkan platform politik yang baharu di Sarawak adalah selaras dengan aspirasi dan kehendak rakyat negeri ini yang berbilang latar belakang agama dan bangsa.

"Saya mengajak seluruh anak Sarawak, tidak kira bangsa atau keturunan untuk sama-sama berusaha ke arah mengekalkan perpaduan dan keharmonian rakyat di negeri ini.

"Perbezaan pendapat, pegangan politik, agama dan budaya tidak seharusnya menjadi benteng pemisah antara kita untuk membina Sarawak yang lebih maju, aman dan makmur," tegasnya.

Sementara itu beliau turut berkata, seperti yang telah menjadi amalan rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini, agar merayakan hari yang mulia ini dengan semangat muhibah dan persaudaraan antara sesama umat Islam dan rakan-rakan daripada keturunan dan agama lain.

Katanya, amalan kunjung mengunjung perlu diteruskan supaya Hari Raya menjadi lebih bermakna kepada kita semua.

"Saya dan isteri akan mengadakan rumah terbuka di Pusat Konvensyen Borneo atau BCCK di Kuching pada hari pertama dan hari kedua Aidiliftri daripada pukul 10.00 pagi hingga 4.00 petang.

"Bagi saudara dan saudari yang berkesempatan datanglah beramai-ramai ke BCCK pada hari-hari berkenaan," katanya.