Anda di sini

‘Fancy cookies’ tema raya meriahkan sambutan Aidilfitri

Advertisement
 Antara ‘fancy cookies’ yang dihasilkan Noor Asmah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi di Kuching baru-baru ini. — Gambar Bernama
PELBAGAI CORAK: Antara ‘fancy cookies’ yang dihasilkan Noor Asmah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi di Kuching baru-baru ini. — Gambar Bernama

SEORANG pengusaha bakeri di Kuching membuat kelainan kepada ‘fancy cookies’ yang dijual apabila dihasilkan berdasarkan tema sambutan Aidilfitri.

Pemilik Roti Lazeez Enterprise, Noor Asmah Mohamed Mokhtar berkata biskut yang mengandungi adunan nestum (di bahagian bawah) itu didekorasi (di bahagian atas) dengan ‘royal icing’ dengan tema pilihan berdasarkan permintaan pelanggan.

“Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini, setiap keping fancy cookies ini dihasilkan mengikut tema perayaan yang boleh ditempah pelanggan seperti perkataan ‘Selamat Hari Raya’, bentuk ‘masjid’, ‘perempuan bertudung’, ‘lelaki bersongkok’, ‘perempuan berbaju kebaya’, ‘lelaki berbaju Melayu’, ‘bunga api’ dan ‘pelita’.

“Biskut ini dijual sebagai hamper mini yang mengandungi 10 keping pada harga kira-kira RM50 sekotak (berdasarkan dekorasi yang diminta). Tahun ini saya menerima tempahan kira-kira 45 kotak,” katanya kepada Bernama.

Usahawan yang membahasakan dirinya sebagai Kak Semah berkata, fancy cookies bertemakan Hari Raya adalah kesinambungan kepada penghasilan biskut bertema yang dijual ketika perayaan Tahun Baharu  Cina seperti ‘naga’, ‘tanglung’, ‘mercun’, ‘buah limau’ dan ‘angpau’.

“Tempahan fancy cookies tema Hari Raya Aidilfitri ini dibuka sebelum bulan Ramadan lagi, saya hanya rancang untuk terima 30 kotak tempahan, namun permintaan melonjak sehingga 45 kotak. Kebanyakan tempahan diterima daripada badan korporat untuk dijadikan cenderahati,” katanya.

 Noor Asmah menunjukkan ‘fancy cookies’ atau biskut yang mengandungi adunan nestum (di bahagian bawah) itu didekorasi (di bahagian atas) dengan ‘royal icing’ dengan tema pilihan berdasarkan permintaan pelanggan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi. — Gambar Bernama
UNIK: Noor Asmah menunjukkan ‘fancy cookies’ atau biskut yang mengandungi adunan nestum (di bahagian bawah) itu didekorasi (di bahagian atas) dengan ‘royal icing’ dengan tema pilihan berdasarkan permintaan pelanggan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi. — Gambar Bernama

Kak Semah, ibu kepada tiga cahaya mata ini berkata 45 kotak tempahan itu disiapkan dalam tempoh seminggu bersama bantuan dua pekerja sejak awal Ramadan dan mula dihantar kepada pelanggan seminggu sebelum sambutan Hari Raya.

“Biasanya tempahan untuk fancy cookies dengan tema perayaan banyak diterima ketika sambutan Tahun Baharu Cina, kali ini saya cuba cari sesuatu yang berbeza untuk Hari Raya Aidilfitri.

“Alhamdulillah, sambutan diterima amat menggalakkan,” katanya yang turut menerima tempahan pelbagai jenis kek dan biskut raya seperti tart, kek batu marmar dan biskut buah kana. — Bernama

Advertisement