Anda di sini

Dunia elak ‘malapetaka nuklear’: Trump

Advertisement
 Presiden Korea Selatan Moon Jae-in (tengah) menonton laporan berita televisyen mengenai sidang kemuncak bersejarah antara Trump dan Kim di Rumah Biru Presiden di Seoul, Korea Selatan kelmarin. — Gambar Yonhap/Reuters
PERISTIWA BERSEJARAH: Presiden Korea Selatan Moon Jae-in (tengah) menonton laporan berita televisyen mengenai sidang kemuncak bersejarah antara Trump dan Kim di Rumah Biru Presiden di Seoul, Korea Selatan kelmarin. — Gambar Yonhap/Reuters

SEOUL: Donald Trump menerima jemputan daripada Kim Jong Un untuk melawat Korea Utara sewaktu sidang kemuncak mereka yang bersejarah, media kerajaan di Pyongyang melaporkan semalam, manakala presiden Amerika Syarikat (AS) itu pula berkata dunia telah melompat balik daripada ambang “mala-petaka nuklear”.

Pertemuan bersejarah kelmarin di Singapura menyaksikan pemimpin demokrasi paling berkuasa di dunia berjabat tangan dengan Kim, pewaris generasi ketiga dinasti kuku besi, apabila mereka berdiri sama rata di hadapan bendera negara masing-masing.

Dalam tweet yang bersemangat seperti kebiasaan, Trump berkata sidang kemuncak julung kali antara pemimpin yang memegang kuasa dari dua musuh Perang Dingin itu bermakna “dunia telah mengambil langkah besar ke belakang daripada malapetaka nuklear yang berpotensi!”

“Tiada lagi pelancaran roket, penyelidikan atau ujian nuklear! Tebusan sudah berada di rumah bersama keluarga mereka. Terima kasih kepada Pengerusi Kim, hari kita bersama adalah bersejarah!”

Dalam satu kenyataan bersama selepas rundingan, Kim bersetuju dengan “pemansuhan nuklear sepenuhnya di Semenanjung Korea” – ungkapan yang disukai Pyongyang  kerana ia tidak pula menyebut tentang tuntutan AS sejak sekian lama agar Korea Utara menamatkan pembuatan senjata atom dengan cara yang “boleh disahkan” dan “tidak boleh ditarik balik”.

Dalam laporan pertamanya mengenai sidang kemuncak bersejarah itu, agensi berita rasmi KCNA menerbitkan laporan berita yang berseri mengenai rundingan itu, dengan menggambarkannya sebagai satu “pertemuan yang menempa sejarah” dan akan membantu memupuk “perubahan yang radikal dalam hubungan Korea Utara-AS yang paling tegang”.

Laporan itu menyebut kedua-dua pemimpin menjemput satu sama lain untuk melawat negara masing-masing.

“Kedua-dua pemimpin tertinggi dengan gembira menerima jemputan satu sama lain,” kata KCNA.

Ia menegaskan Trump telah “menyuarakan hasratnya” untuk menarik balik sekatan terhadap Korea Utara – sesuatu yang presiden AS itu sebut dalam satu sidang media besar-besaran akan berlaku “apabila kita pasti senjata nuklear tidak lagi menjadi faktor”.

“Sekatan itu buat masa sekarang dikekalkan,” katanya.

Dengan tajuk berita: “Pertemuan terbesar pada abad ini membuka sejarah baharu dalam hubungan DPRK-AS”, akhbar harian rasmi parti pemerintah Korea Utara, Parti Pekerja, Rodong Sinmun menyiarkan tidak kurang daripada 33 gambar pada empat daripada enam muka suratnya yang biasa.

Salah satu gambar me-nunjukkan Kim yang senyum berjabat tangan dengan Penasihat Keselamatan Negara AS di bawah Trump, John Bolton, yang sebelum ini menyokong tindakan ketenteraan terhadap Korea Utara, yang seterusnya merujuk kepadanya sebagai “sampah manusia”.

Pyongyang ada sebab untuk rasa yakin selepas pertemuan itu, satu kejayaan besar bagi rejim yang terpinggir dan menerima sekatan berat serta sekian lama menginginkan kesahan antarabangsa.

“Kim Jong Un memperolehi apa yang beliau inginkan di Sidang Kemuncak Singapura: penghormatan dan prestij antarabangsa bagi pertemuan satu dengan satu bersama presiden Amerika, kesahan bendera Korea Utara yang digantung bersebelahan dengan bendera Amerika di latar belakang,” kata Paul Haenle, pengarah Pusat Carnegie-Tsinghua.

Dalam sidang akhbar selepas sidang kemuncak, Trump telah membuat pengumuman mengejut bahawa AS akan menghentikan latihan ketenteraan bersama sekutu keselamatannya Seoul – sesuatu yang sudah lama diinginkan oleh Pyongyang, yang mendakwa latihan itu adalah raptai bagi serangan.

AS menempatkan kira-kira 30,000 anggota tentera di negara sekutu keselamatan Korea Selatan untuk melin-dunginya daripada negara jirannya, yang menyerangnya pada 1950 dalam usaha untuk menyatukan semula semenanjung Korea menerusi kekerasan.

“Kita akan memberhentikan permainan perang yang akan menjimatkan sejumlah wang yang banyak bagi kita,” kata Trump kepada pemberita, dan menambah “pada suatu ketika nanti” beliau mahu mengundurkan anggota tentera AS dari Korea Selatan.

Panglima tentera AS di Korea Selatan dan Seoul membayangkan mereka tidak tahu pengumuman itu akan dibuat, dan dalam satu tulisan pengarang semalam, akhbar Korea Herald berkata ia “membimbangkan”.

Sidang kemuncak di Singapura merupakan pertemuan yang berpotensi menentukan legasi bagi kedua-dua pemimpin – setara dengan lawatan Presiden Richard Nixon pada 1972 ke China, atau sidang kemuncak Ronald Reagan pada 1986 dengan Mikhail Gorbachev di Reykjavik.

Hanya beberapa bulan lalu, kedua-dua pemimpin secara peribadi menghina satu sama lain seperti “penyanyuk” dan “lelaki roket kecil” manakala Korea Utara menjalankan ujiannya yang keenam dan paling kuat selain melepaskan misil ke ruang udara Jepun.

Trump berjanji untuk menghujani Pyongyang dengan “api dan kemarahan” jika ia mengugut AS tetapi sebaliknya di Singapura, pujian pula yang dikeluarkan apabila presiden itu menyifatkan Kim sebagai “berbakat” dan berkata mereka telah menjalin “hubungan istimewa”.

Selepas hari yang diserikan dengan senyuman dan berjabat tangan yang disaksikan di seluruh dunia, AS “komited untuk menyediakan jaminan keselamatan” kepada Korea Utara.

Kuasa dunia dari China hingga kepada Jepun, Kesatuan Eropah dan Rusia mengalu-alukan hasilnya – dan pada waktu yang sama memberi amaran bahawa ia hanya langkah pertama ke arah merungkai kemelut nuklear dengan Pyongyang.

Namun beberapa media di Jepun, yang pernah di-ugut akan “ditenggelamkan ke dalam laut” oleh Korea Utara pada masa lalu, lebih waspada.

“Tawar-menawar sebenar kini sudah bermula antara AS dan Korea Utara. Masalah yang tidak dapat diselesaikan menerusi pertunjukan politik ‘bling-bling’ masih wujud di kedua-dua pihak,” kata akhbar liberal Mainichi Shimbun. — AFP

Advertisement