Anda di sini

Dasar baharu memartabatkan lagi sistem pendidikan Sabah

Advertisement
 Yusof (tengah) mengadakan sidang media bersama Jenifer (kiri) Mohammad (dua kiri) dan Kadir (dua kanan).
DASAR BAHARU: Yusof (tengah) mengadakan sidang media bersama Jenifer (kiri) Mohammad (dua kiri) dan Kadir (dua kanan).

KOTA KINABALU: Beberapa dasar akan diperkenalkan dalam sistem pendidikan negeri ini bagi memastikan setiap pelajar tidak tercicir daripada arus pendidikan negara.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr Yusof Yacob berkata, sebelum memperkenalkan dasar-dasar itu, satu pertemuan dengan semua pihak berkepentingan akan diadakan.

“Pertemuan ini penting bagi mendapatkan input dan maklumat selain mendapatkan gambaran sebenar seterusnya dijadikan panduan untuk bergerak ke hadapan.

“Sabah melahirkan lebih 40,000 lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) setiap tahun,” katanya pada sidang media selepas mengadakan Siri Lawatan Kerja ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah, di sini pada Selasa.

Beliau berkata, statistik juga menunjukkan bahawa daripada jumlah lulusan peperiksaan itu, hanya 50 peratus sahaja berjaya meneruskan pelajaran ke peringkat seterusnya, manakala selebihnya tercicir daripada arus pendidikan perdana dalam negara ini.

“Pada masa hadapan, dasar yang akan kita perkenalkan ini akan memastikan tidak ada seorang pelajar pun tercicir.

“Para lepasan SPM dan STPM yang tidak dapat meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi akan ditawarkan latihan kemahiran agar boleh bekerja dalam industri berkaitan.

“Ini adalah antara matlamat kementerian untuk pembangunan pendidikan di Sabah,” katanya.

Yusof berkata, walaupun wujudnya beberapa cabaran seperti lokaliti serta kewangan dalam kalangan pelajar itu, khususnya dari luar bandar, kerajaan akan membantu dalam usaha menyediakan dana atau tajaan kepada mereka.

Hadir sama ialah kedua-dua Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Jenifer Lasimbang dan Mohammad Mohamarin serta Rektor UiTM Sabah Datuk Dr Abdul Kadir Rosline.

Advertisement