Anda di sini

Daerah Tawau sebagai hab sektor pertanian dan perikanan

Advertisement

TAWAU: Kerajaan Negeri berhasrat membangunkan sektor pertanian dan perikanan di daerah Tawau malah menjadikan daerah ini sebagai hab makanan laut untuk rantau Asia.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal optimis kedua-dua sektor itu berpotensi untuk menjana ekonomi penduduk di daerah ini sekiranya dibangunkan secara serius.

KEHADIRAN Shafie disambut girang oleh para jemaah Masjid al-Kauthar Tawau.
KEHADIRAN Shafie disambut girang oleh para jemaah Masjid al-Kauthar Tawau.

“Dari segi makanan laut, di sini banyak terdapat udang terutamanya udang galah,” katanya, yang turut memuji keistimewaan tanah di daerah ini sebagai paling subur.

Shafie berkata pada 1993 Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah memberitahunya bahawa kawasan di daerah ini subur kerana tanah gunung berapi.

Menurutnya, buah-buahan di Tawau juga lebih manis berbanding yang ditanam di daerah lain, malah turut menarik kedatangan orang ramai dari Lahad Datu dan Semporna.

“Kita lihat jika perkara ini boleh dilakukan, Tawau bukan hanya menjadi pembekal kepada rantau Asia, tetapi memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak kita.

“Bahkan, situasi itu juga boleh mewujudkan satu industri yang mampu merangsang pembangunan sektor pembungkusan, pelabelan, pemasaran dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap sempena Majlis Kesyukuran dan Berbuka Puasa Peringkat Parlimen Semporna, Silam, Tawau dan Kalabakan di Masjid Al-Kauthar di sini pada Rabu.

Penganjuran program terbabit dipengerusikan bersama oleh Ahli Parlimen Kalabakan Ma’mun Sulaiman dan Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Alijus Sipil.

Mengulas lanjut, Shafie akui Tawau ‘bandar yang tidur’, justeru wakil rakyat di Parlimen Kalabakan dan Tawau perlu memberikan fokus untuk membangunkan kawasan mereka.

Beliau berkata wakil rakyat dan kepimpinan Warisan diminta mengenepikan polemik politik, sebaliknya berganding bahu antara satu sama lain (dengan parti-parti pemerintah).

SHAFIE menyerahkan bantuan permaidani kepada salah satu wakil penerima (masjid) di Parlimen Kalabakan.
SHAFIE menyerahkan bantuan permaidani kepada salah satu wakil penerima (masjid) di Parlimen Kalabakan.

“Ketepikan polemik politik, ini masanya kita membangun, tetapi, jangan bangunkan pertelingkahan, pergeseran dan perbezaan yang boleh memecah-belahkan hubungan kita.

“Kita tahu Ketua Menteri dari Warisan, tapi jangan fikir semua Warisan, kita kena ada perkongsian dengan gabungan parti seperti PKR, DAP dan UPKO, kita tidak boleh ambil semua,” katanya

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Jimmy Wong, Pembantu Menteri Kewangan Sarifuddin Hata dan Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Abdul Muis Picho serta wakil rakyat yang lain.

  • oleh
  • Advertisement