Anda di sini

Curi harta rumah ibadat, lelaki kena penjara 16 bulan

 

KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang mencuri harta benda milik sebuah rumah ibadat, dikenakan penjara 16 bulan, oleh Mahkamah Majistret di sini.

Majistret Cindy Mc Juce Balitus menjatuhkan hukuman itu terhadap Salleh Mohd Ali, selepas kertas pertuduhan dibacakan dan mengaku salah.

Tertuduh mencuri segulung dawai besi dan empat unit bracket speaker milik gereja ST Peter Tembovo Putatan, daerah Putatan, pada 1 Jun di hadapan bangunan gereja berkenaan.

Salleh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, yang boleh dikenakan penjara selama tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Untuk kesalahan seterusnya, penjara atau denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Semasa rayuan, tertuduh yang berusia 33 tahun, memohon tempoh pemenjaraannya disingkat, namun Pegawai Pendakwa Insp Albert Basirin meminta hukuman setimpal dikenakan.

Cindy memerintahkan tertuduh yang tidak diwakili peguam menjalani hukuman terbabit bermula dari tarikh tangkap.

Sementara itu, seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun, dikenakan denda RM4,000 atau penjara 12 bulan, kerana memiliki syabu seberat 0.20 gram.

Faridzul Rahim dijatuhkan hukuman itu oleh Majistret Stephanie Sherron Abbie, selepas mengaku salah, mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Hukuman yang diperuntukkan, denda maksimum RM100,000 atau penjara selama tempoh lima tahun, atau kedua-duanya.

Tertuduh ditangkap pada 15 Mei di sebuah rumah, Kampung Petagas, daerah Putatan.