Anda di sini

Air bertakung diatasi

Advertisement
 Dr Annuar (dua kiri) dan Oscar (empat kiri) melawat tapak projek tebatan banjir bernilai RM18 juta di Kampung Jeriah, Sibu kelmarin.
TINJAU: Dr Annuar (dua kiri) dan Oscar (empat kiri) melawat tapak projek tebatan banjir bernilai RM18 juta di Kampung Jeriah, Sibu kelmarin.

SIBU: Masalah air banjir bertakung di Kampung Jeriah di sini dapat diatasi apabila projek tebatan banjir bernilai RM18 juta siap nanti.

Air banjir bertakung di kampung itu merupakan isu lama yang sentiasa menghantui penduduk setiap kali musim hujan.

Air parit gagal disalirkan dengan sempurna ke Sungai Seduan di sini kerana terletak di kawasan rendah.

Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapa'ee dan Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling melawat tapak projek di Kampung Jeriah di sini kelmarin.

Dr Annuar yang juga Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam berkata projek tersebut dibiayai Kerajaan Sarawak.

"Terdapat dua fasa di mana kos fasa pertama ialah kira-kira RM6.8 juta dan fasa kedua baharu diluluskan kira-kira RM11 juta. Secara keseluruhannya, kira-kira RM18 juta.

"Fasa pertama bermula dengan kemajuan lima peratus dan mengambil masa kira-kira 16 bulan untuk disiapkan. Fasa kedua baharu diluluskan dan perlu melalui proses tender.

"Projek ini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak," katanya.

Dr Annuar memberitahu bahawa beliau membawa Oscar melihat sendiri masalah berlaku di kawasan itu dan bekerjasama bagi menangani isu tersebut.

"Saya berkongsi dengan Oscar mengenai kemajuan dan pembiayaan projek serta kesukaran yang mungkin timbul pada masa akan datang.

“Lebih penting lagi, kita bekerjasama menyelesaikan masalah air banjir bertakung di kawasan itu," jelasnya.

Beliau berkata, apabila projek itu siap sepenuhnya kekerapan banjir di kawasan itu dapat dikurangkan.

Sementara itu, Oscar menyifatkan projek itu sebagai langkah terbaik mengatasi masalah banjir di kawasan terbabit.

"Projek ini antara lain melibatkan peningkatan sistem aliran trafik dan memperbaiki sistem saliran supaya air dapat mengalir dengan mudah ke Sungai Seduan di sini.

"Ini adalah salah satu usaha Dr Annuar menyelesaikan masalah banjir di Kampung Jeriah di sini," kata beliau.

Katanya, beliau dan Dr Annuar serta Kerajaan Sarawak akan mengadakan lebih banyak perbincangan pada masa akan datang untuk menyelesaikan isu terbabit.

  • oleh
  • Advertisement