Anda di sini

500 pembeli rumah dalam kegelapan selama 18 bulan

KOTA KINABALU: Seramai 500 pembeli rumah di Taman Bundusan yang ditinggalkan dalam kegelapan selama 18 bulan akibat kemelut Sijil Pendudukan (OC), kini beralih kepada kerajaan negeri yang baharu untuk mendapatkan pertolongan.

Para pembeli rumah berkenaan menyatakan harapan mereka agar Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Ahli Parlimen Penampang Darell Leiking akan melihat keadaan mereka.

Sebelum kemelut itu, Marvelgold Development Sdn Bhd selaku pemaju taman perumahan berkenaan mendakwa akan membangun dan membina taman perumahan berkenaan mengikut pelan pembangunan yang telah diluluskan oleh semua pihak berkuasa tempatan dan negeri yang berkaitan.

“Tanpa pelan yang diluluskan, pembinaan tidak dapat dimulakan. Pemaju telah menyelesaikan pembinaan dan arkitek mereka telah mengeluarkan sijil penyiapan praktikal dan telah memohon OC sejak November 2016,” kata Eppe Charles Constantine, jurucakap pembeli rumah yang tidak berpuas hati pada media, Selasa.

“Bagaimanapun, terdapat pertikaian mengenai jalan raya menuju ke Taman Bundusan. Kami sebagai pembeli ingin melihat semua pihak yang berkenaan membincangkan perkara-perkara berkaitan termasuk jalan raya dengan baik, dengan kehadiran pengawal perumahan dan Majlis Daerah Penampang,” katanya.

Difahamkan setakat ini, tiada akses yang sempurna ke taman perumahan berkenaan. Oleh itu, tiada seorang pun daripada 500 pembeli rumah boleh berpindah.

“Sekiranya syarat mendapatkan OC adalah melalui Taman Mahkota, maka Marvelgold Development sebagai pemaju mesti memenuhi keperluan dan bekerjasama dengan Dewan Bandaraya untuk memastikan laluan di situ dapat diselesaikan dalam masa yang ditetapkan.

“Sementara itu, kami juga mencadangkan Marvelgold Development melantik arkitek untuk meminda pelan pembangunan bagi memasukkan laluan rizab Taman Formosa sebagai akses sementara untuk mendapatkan OC,” katanya.

Pembeli rumah juga telah menyatakan harapan mereka supaya kedua-dua laluan itu boleh digunakan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas yang dijangkakan.

Pembeli rumah mencadangkan bahawa Marvelgold Development harus mendekati pemaju jiran untuk mengadakan perbincangan damai tentang mendapatkan akses sementara melalui Taman Formosa, serentak dengan akses pembinaan melalui Taman Mahkota.

Eppe berkata pengawal kerajaan tempatan perumahan yang terdahulu di bawah kerajaan Barisan Nasional hanya berdiri sebagai ‘orang yang tidak peduli’.

“Kami mengalami banyak ketidakadilan tanpa ada pihak yang berani memberi bantuan kepada kami di bawah kerajaan BN,” katanya.

Beliau menggambarkan rayuan kali ini sebagai yang terakhir kerana sebahagian daripada mereka mungkin berada dalam ‘bahaya’ dengan pinjaman bank mereka atau kemungkinan menghadapi muflis.

“Kami, 500 pembeli telah menghabiskan simpanan kami untuk membeli kondominium ini sebagai rumah kami untuk anak-anak kami. Kami telah membuat pinjaman dengan bank, kami telah membayar ansuran dan faedah kepada bank-bank tetapi kami masih tidak boleh pindah,” katanya.