Anda di sini

14 pengguna jalan raya sah positif dadah

 Syafiq (kanan) melihat anggota AADK melakukan ujian urin ke atas pengguna jalan raya.
UJIAN: Syafiq (kanan) melihat anggota AADK melakukan ujian urin ke atas pengguna jalan raya.

KUCHING: Sejumlah 14 pengguna jalan raya disahkan positif dadah dan 343 kenderaan diperiksa sepanjang Operasi Bersepadu sempena Hari Raya Aidilfitri 2018 di Jalan Kuching-Samarahan Ekspress Way, dekat sini kelmarin.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak Mohd Syafiq Anas Abdullah berkata operasi yang bermula jam 8 malam kelmarin (Selasa) turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), PUSPAKOM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Operasi ini akan berterusan sepanjang Ops Selamat Hari Raya Aidilfitri sehingga 22 Jun ini, di mana kita akan lebih menumpukan kepada motosikal, selain turut melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan lain atas semua jenis kesalahan,” katanya yang ditemui pemberita.

Menurutnya juga sebanyak 203 kenderaan telah diperiksa pihaknya dengan 43 notis saman dikeluarkan.

Selain itu, polis turut memeriksa 100 kenderaan dengan 22 notis saman dikeluarkan dan 26 kenderaan jenis lori pelbagai kategori telah diperiksa oleh pihak PUSPAKOM.

“AADK turut melakukan 40 ujian saringan urin dan 14 didapati positif,” katanya.

Syafiq selain itu turut memberitahu bahawa pihaknya sepanjang operasi berkenaan sehingga semalam telah memeriksa 519 motosikal dan 95 notis saman dikeluarkan.

“Berdasarkan statistik yang dikeluarkan PDRM, jumlah kenderaan terlibat kemalangan jalan raya di seluruh negeri mencatat penurunan sebanyak 4.6 peratus sepanjang tahun lepas (2017) berbanding tahun sebelumnya (2016).

“Ini disebabkan adanya kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya yang mementingkan keselamatan dengan mematuhi undang-undang jalan raya dan akan sentiasa berasa diperhatikan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Seramai 38 anggota JPJ, empat anggota PDRM, 13 anggota AADK, empat anggota SPRM dan enam anggota PUSPAKOM terlibat dalam operasi tersebut.