Anda di sini

Yayasan Artis 1Malaysia kini dikenali sebagai Yayasan Kebajikan Artis Tanahair

Advertisement
 Pengerusi YKAT Datuk Irwan Shah Abdullah @ DJ Dave (dua kanan) bersama Anggota Pemegang Amanah YKAT (dari kiri) S. Kanagarajan, Colin Lionel Edmonds , Datuk Jamaluddin Elias (Nash), Datuk Nancy Foo dan Datuk A Rahman Hassan selepas Sidang Media Yayasan Artis 1Malaysia mengumumkan penukaran nama baru-baru  ini. — Gambar Bernama
NAMA BAHARU: Pengerusi YKAT Datuk Irwan Shah Abdullah @ DJ Dave (dua kanan) bersama Anggota Pemegang Amanah YKAT (dari kiri) S. Kanagarajan, Colin Lionel Edmonds , Datuk Jamaluddin Elias (Nash), Datuk Nancy Foo dan Datuk A Rahman Hassan selepas Sidang Media Yayasan Artis 1Malaysia mengumumkan penukaran nama baru-baru ini. — Gambar Bernama

YAYASAN Artis 1Malaysia telah ditukar nama kepada Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) pada 5 Jun lepas selaras dengan misi, visi dan agendanya untuk membela dan menjaga kebajikan artis.

Pengerusi  YKAT Datuk Irwan Shah Abdullah atau lebih dikenali sebagai DJ Dave berkata yayasan itu akan terus membela nasib artis yang terdiri daripada penyanyi, pemuzik dan pelakon tanpa mengira bangsa dan agama terutama artis veteran.

Katanya sejak ditubuhkan pada 2012, yayasan itu telah membantu lebih 1,000 orang artis termasuk di Sabah dan Sarawak yang ditimpa kesusahan seperti sakit, kemalangan serta waris artis yang telah meninggal dunia.

“Kami juga memerlukan sokongan kerajaan yang baharu bagi membantu visi dan misi YKAT dalam memberi bantuan kepada artis-artis yang memerlukan. Kami  juga berharap artis-artis muda turut membantu  yayasan ini,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sementara itu, YKAT dalam satu kenyataan berkata yayasan itu  akan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan korporat untuk mengumpul dana melalui penganjuran kejohanan badminton dan malam gala pada 14 dan 15 Julai ini dan sumbangan akan disalurkan  kepada Persatuan Kanak-Kanak Spastik Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Untuk maklumat lanjut mengenai kejohanan badminton dan malam gala itu, orang ramai boleh  melayari  www.ykat.org/gaccb atau hubungi Spastic Children Association di talian 03-79582393. — Bernama

Advertisement