Anda di sini

Tajaan RM30 juta siaran piala dunia di RTM mencukupi

Advertisement
 Gobind (tiga kiri) menerima replika cek sempena penajaan siaran langsung Piala Dunia FIFA 2018 daripada Riad (tiga kanan) bernilai RM12 juta pada majlis pelancaran dan sidang media ‘FIFA World Cup Russia 2018’ semalam. — Gambar Bernama
TAJAAN: Gobind (tiga kiri) menerima replika cek sempena penajaan siaran langsung Piala Dunia FIFA 2018 daripada Riad (tiga kanan) bernilai RM12 juta pada majlis pelancaran dan sidang media ‘FIFA World Cup Russia 2018’ semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Siaran kejohanan Piala Dunia FIFA 2018 di Radio Televisyen Malaysia (RTM) secara rasminya menerima tajaan mencukupi berjumlah RM30 juta menerusi Maxis Bhd dan Airasia Bhd.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata Maxis merupakan penaja utama iaitu Penaja Platinum dengan tajaan RM18 juta sementara AirAsia adalah Penaja Emas menerusi tajaan RM12 juta.

Gobind, yang merupakan penyokong tegar pasukan Brazil berkata pelbagai syarikat korporat juga sedang mengadakan perbincangan dengan RTM untuk kos lain seperti promosi.

“Kos hak penyiaran, jumlahnya adalah RM30 juta. Kita ada perjanjian spesifik kos berkenaan. Kalau ada pertambahan tajaan, kita boleh dapat siaran (perlawanan) tambahan, perkara itu masih dalam perbincangan,” katanya.

Gobind berkata demikian selepas melancarkan siaran kejohanan Piala Dunia FIFA 2018 secara percuma di RTM di kementeriannya di sini semalam.

Sebelum ini, Gobind mengumumkan kerajaan melalui RTM akan menyiarkan 41 daripada 64 perlawanan dengan kos sebanyak RM30 juta untuk membeli hak penyiaran Piala Dunia FIFA 2018 di Rusia bermula 14 Jun ini hingga 15 Julai.

Daripada jumlah itu, sebanyak 28 perlawanan akan ditayangkan secara langsung, manakala bakinya disiarkan melalui siaran tertunda menerusi TV1 dan TV2.

Dalam pada itu, Gobind berharap dengan penyiaran secara langsung di RTM mampu menaikkan prestasi dan peranan RTM sebagai media kerajaan.

Katanya penyiaran secara percuma kepada rakyat itu membuktikan kerajaan masa kini prihatin terhadap minat rakyat terhadap acara sukan yang dianjurkan empat tahun sekali itu.

“Dengan mengambil kira nilai perpaduan yang dapat dipupuk melalui siaran kejohanan ini, saya telah berusaha merealisasikan impian peminat bola sepak.

“Kerjasama melalui acara kesukanan ini merupakan platform sesuai menyatukan rakyat Malaysia pelbagai kaum, bangsa dan status,” katanya.

Mengenai prestasi pasukan pilihannya, Gobind yakin Brazil yang merupakan juara lima kali Piala Dunia itu mampu menampilkan permainan terbaik.

“Saya minat Brazil sejak kecil lagi. Saya sentiasa mengikuti perkembangan Brazil. Kita lihat apa yang berlaku nanti,” katanya. — Bernama

Advertisement