Anda di sini

Selamat tinggal BN

Advertisement
 Abang Johari (tengah) bersama (dari kanan) Awang Tengah, Dr Sim, Masing, Uggah, Tiong dan Setiausaha Agung PBB Datuk Alexander Nanta Linggi selepas sidang media mengumumkan penubuhan GPS semalam.
LANDASAN BAHARU: Abang Johari (tengah) bersama (dari kanan) Awang Tengah, Dr Sim, Masing, Uggah, Tiong dan Setiausaha Agung PBB Datuk Alexander Nanta Linggi selepas sidang media mengumumkan penubuhan GPS semalam.

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) ditubuh bagi membolehkan Sarawak memulakan landasan politik baharu serta menghadapi cabaran selaras dengan perubahan aspirasi rakyat dan perkembangan semasa politik negara.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata penubuhan GPS dibuat selepas empat parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak sebelum ini iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) sebulat suara mengambil keputusan keluar daripada BN.

Beliau menambah, empat parti itu mengambil keputusan tersebut selepas mengambil kira pelbagai aspek hasil perubahan landskap politik negara ekoran kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan bagi membolehkan Sarawak memfokus kepada kepentingan serta hak-haknya  dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Parti komponen BN (PBB, SUPP, PRS dan PDP) telah sebulat suara bersetuju meninggalkan BN dan membentuk perikatan parti politik asal Sarawak dikenali Gabungan Parti Sarawak.

“Keputusan diambil setelah banyak perbincangan, maklum balas dan pertimbangan (dibuat) selain mengambil kira situasi semasa politik negara pasca-PRU14,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi BN yang terakhir di Ibu Pejabat PBB yang dihadiri kesemua presiden dan timbalan presiden parti.

Abang Johari yang juga presiden PBB berkata GPS akan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan atas kepentingan negara, hak-hak Sarawak, Perlembagaan Malaysia dan Persekutuan Malaysia.

Bagaimanapun beliau menegaskan bahawa GPS tidak akan menyertai Pakatan Harapan dan kekal sebagai pembangkang.

Selain itu katanya, GPS mempunyai hala tuju yang berbeza dengan BN kerana gabungan parti politik ‘Bebas’.

“Sarawak sebuah negeri yang unik, pelbagai bangsa, budaya dan agama. Sesungguhnya kita sudah lama mempertimbangkan kepelbagaian ini sebagai aset paling berharga untuk terus maju dan aman.

“Kita akan melindungi kepentingan semua rakyat Sarawak tanpa mengambil kira saiz komuniti. Oleh itu keputusan ini diambil demi kepentingan rakyat dan negeri ini,” ujarnya.

Beliau memberitahu bahawa Sarawak akan mendaftar GPS dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) selain memaklumkan kepada BN, speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Tidak lama, ini formaliti sahaja. Kita perlu mendaftar dengan ROS untuk menjadi satu pertubuhan yang sah selain memaklumkan kepada BN, speaker DUN, Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” jelasnya.

Mengenai kedudukan 19 Ahli Parlimen dari Sarawak dalam Persidangan Parlimen akan datang, beliau berkata perkara itu akan dimaklumkan kepada setiausaha Dewan Rakyat menerusi surat rasmi dalam waktu terdekat ini.

“Terpulang kepada mereka (Dewan Rakyat) untuk menentukan tempat duduk ahli-ahli Parlimen kita semasa Parlimen bersidang nanti,” ujarnya.

Abang Johari dalam pada itu mengucapkan ribuan terima kasih kepada BN yang selama ini banyak menyumbang kepada pembangunan serta kesejahteraan Sarawak.

“Sebab itu saya kata terima kasih, kerana kita bermula daripada Perikatan Sarawak selepas itu kita ada BN, waktu itu landskapnya (politik) berlainan.

“Sekarang keadaan sudah berubah kerana kita menang pada Pilihan Raya Negeri 2016, kita hendak memperjuangkan hak-hak Sarawak, yang dimulakan oleh Allahyarham Tok Nan (Pehin Sri Adenan Satem),” katanya.

Ujarnya lagi, Kerajaan Sarawak yang ada hari ini akan meneruskan mandat diberikan rakyat pada PRN 2016, mendapatkan semula kepentingan dan hak-hak Sarawak seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Hadir sama Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Presiden PRS Tan Sri Datuk Amar James Masing serta Timbalannya Datuk Joseph Salang Gandum, Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian dengan Timbalannya Datuk Seri Richard Riot Jaem dan Presiden PDP Datuk Seri Tiong King Sing bersama Timbalannya Datuk Nelson Balan Ringin.

  • oleh
  • Advertisement