Anda di sini

Raus, Zulkefli letak jawatan

Advertisement

PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara Tun Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin telah menghantar surat peletakan  jawatan masing-masing kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V pada 7 Jun lepas.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan hari ini, peletakan jawatan mereka akan berkuat kuasa pada 31 Julai ini.

Peletakan jawatan mereka itu telah diperkenankan Yang-di Pertuan Agong pada 8 Jun dan mereka telah dimaklumkan melalui surat Setiausaha Sulit, Bahagian Urusan Diraja, Istana Negara bertarikh 11 Jun.

Menurut kenyataan itu, Raus dan Zulkefli telah berjumpa dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 15 Mei lepas dan telah menyampaikan hasrat mereka untuk meletakkan jawatan.

Bagaimanapun, Raus dan Zulkefli telah memaklumkan kepada Dr Mahathir bahawa peletakan jawatan itu akan berkuat kuasa pada tarikh yang munasabah untuk membolehkan segala urusan kehakiman diselesaikan.

"Selaras dengan pertimbangan sedemikian, Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan telah mengutus surat peletakan jawatan masing-masing kepada Yang di-Pertuan Baginda pada 7 Jun 2018 dan peletakan jawatan itu akan berkuat kuasa pada 31 Julai 2018," menurut kenyataan itu.

Foto BERNAMA bertarikh 15 Mei menunjukkan Raus dan Zulkefli meninggalkan Yayasan Kepimpinan Perdana.
Foto BERNAMA bertarikh 15 Mei menunjukkan Raus dan Zulkefli meninggalkan Yayasan Kepimpinan Perdana.

Pada April tahun lepas, Raus dan Zulkefli telah dilantik ke jawatan masing-masing apabila bekas Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria bersara wajib pada usia 66 tahun.

Raus dan Zulkefli telah dilantik sebagai hakim tambahan untuk tempoh masing-masing tiga tahun dan dua tahun supaya mereka dapat terus berkhidmat dalam jawatan berkenaan walaupun mereka telah mencapai umur persaraan 66 tahun.

Raus sepatutnya bersara pada 3 Ogos tahun lepas dan Zulkefli pada 27 Sept tahun lepas selepas lanjutan selama tempoh enam bulan apabila mencapai umur 66 tahun.

Umur persaraan bagi para hakim ialah 66 tahun. - BERNAMA

Advertisement