Anda di sini

Rakyat dipelawa sertai perhimpunan meraikan Hari Sarawak pada 22 Julai

Advertisement
 Dinis (duduk, tiga kiri) dan Tan (duduk, dua kiri) bergambar bersama ahli S4S selepas sidang media kelmarin.
SERTAI KAMI: Dinis (duduk, tiga kiri) dan Tan (duduk, dua kiri) bergambar bersama ahli S4S selepas sidang media kelmarin.

KUCHING: Sarawak for Sarawakians (S4S) Bahagian Selatan mempelawa rakyat negeri ini menyertai mereka meraikan Hari Sarawak pada 22 Julai depan di Padang Merdeka di sini.

Presiden Jawatankuasa Sambutan Hari Sarawak 2018 S4S Dinis Repong berkata acara itu akan bermula dengan perarakan aman menuju ke Padang Merdeka bermula dari dua lokasi iaitu Dewan Suarah dan Taman Budaya.

“Orang ramai boleh memilih sama ada menyertai kami dari tempat letak kereta Dewan Suarah atau Taman Budaya dan kami akan memulakan perarakan menuju Padang Merdeka mulai jam 9 pagi,” katanya pada sidang media di sini kelmarin.

Beliau menambah, S4S menyasar menghimpunkan kira-kira 500 orang daripada semua lapisan masyarakat dan latar belakang sosial.

“Bagaimanapun, saya tegaskan, mereka yang mahu menyertai kami tidak boleh membawa bendera parti-parti politik,” tegasnya.

Bertemakan “Mengembalikan Status Sarawak- Hari Kemerdekaan Sarawak 2018’, Dinis berkata perhimpunan di Padang Merdeka itu untuk menyampaikan mesej kepada Kerajaan Sarawak  mengenai aspirasi dan hasrat rakyat Sarawak untuk membentangkan usul mengembalikan status Sarawak.

‘Selain itu, kita akan menyentuhkan isu-isu berkaitan tanah Hak Adat Bumiputera, Ordinan Referendum Perlembagaan dan hak-hak autonomi 100 peratus semasa perhimpunan ini,” tambahnya.

Sementara itu, Naib Presiden Jawatankuasa Sambutan Hari Sarawak 2018 KC Tan berkata Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan polis telah dimaklumkan mengenai hasrat S4S menganjurkan perhimpunan aman itu.

“Kami telah memaklumkan mereka (DBKU dan polis) laluan serta jadual kami pada hari itu,” katanya.

Advertisement