Anda di sini

Produk kecantikan RM1 juta dirampas

Advertisement

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan Terengganu berjaya merampas enam jenis produk kecantikan dan meningkatkan keupayaan diri yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bernilai hampir RM1 juta daripada seorang pengedar dalam satu operasi di daerah Dungun 6 Jun lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohammad Omar berkata, ia merupakan rampasan terbesar tahun ini yang dilakukan Cawangan Penguatkuasaan Farmasi jabatan itu selepas mendapat aduan daripada orang awam yang meragui status produk penambah ketinggian yang dijual pengedar berkenaan menerusi Facebook.

“Seramai tujuh orang penguat kuasa telah membuat serbuan di dua premis di Dungun dan menemui enam produk tersebut dengan jumlah rampasan bernilai RM962,394.

“Selepas disiasat semua produk berkenaan iaitu empat produk mencantik dan memutihkan kulit, ubat kuat lelaki dan ubat penambah ketinggian memang tidak berdaftar dengan KKM,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di sini semalam.  

Mohamad berkata, setelah disiasat, pengedar berkenaan juga didapati pernah melakukan kesalahan yang sama dan telah didenda pihak mahkamah pada tahun 2014.

“Kesemua produk dan kosmetik yang dirampas akan disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan jika disabit kesalahan pihak terlibat boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM25,000 serta boleh dipenjarakan maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama bagi individu.

“Jika mereka melakukan kesalahan berulang, hukuman denda maksimum atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan jika sabit kesalahan.

“Manakala bagi syarikat yang melakukan kesalahan sama boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 (kesalahan pertama) dan RM100,000 (bagi kesalahan seterusnya),” katanya.

Mengulas mengenai kesalahan berulang yang dilakukan pihak sama, Mohamad berkata jumlah denda yang kecil tidak dinafikan menjadi penyebab pihak berkenaan tidak serik melakukan kesalahan yang sama kerana difahamakan mereka mendapat pulangan jualan yang tinggi bagi setiap produk.

“Kita juga percaya, permintaan yang tinggi terhadap produk-produk sebegini oleh masyarakat yang mahukan kesan yang cepat antara salah satu faktor juga ia dijual secara berleluasa meskipun tidak mendapat kebenaran KKM.

“Tidak pasti mengapa pengedar tidak mendaftarkan produk ini dengan KKM, tapi kita tidak menolak kemungkinan dalam produk tersebut terdapat ramuan yang beracun atau berbahaya kepada kesihatan,” katanya.

Justeru katanya beliau berharap bentuk hukuman yang lebih tegas dapat dikenakan terhadap pihak yang terlibat dalam penjualan produk-produk tidak berdaftar kerana ia dikuatiri boleh membawa kemudaratan kepada pengguna.

“Kes serupa juga boleh dikatakan meningkat. Contohnya sepanjang tahun lepas, kita telah lakukan 60 serbuan dengan nilai rampasan berjumlah RM2.68 juta, tetapi tahun ini bagi tempoh Januari hingga Jun, dalam 31 serbuan yang dilakukan jumlah rampasan sudah mencecah RM1.4 juta.

“Jadi kita harap pihak terlibat dapat menyemak semula bentuk hukuman dan denda bagi pesalah ini agar tiada lagi pihak yang berani mengulangi kesalahan yang sama,” katanya. — Bernama

Advertisement