Anda di sini

PBB rancang pengunduran besar misi pengaman Darfur

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB): PBB sedang merancang untuk meneruskan pengunduran besar misi tentera pengaman gabungan dengan Kesatuan Afrika di wilayah Darfur Sudan, kata ketua tentera pengaman PBB kelmarin.

Majlis Keselamatan bersetuju pada tahun lepas untuk mengurangkan misi UNAMID – pernah menjadi operasi paling besar dan mahal daripada semua operasi pengaman – ketika Amerika Syarikat (AS) mendesak pemotongan bajet untuk tentera pengaman.

Ketua tentera pengaman PBB Jean-Pierre Lacroix berkata rancangan terbaharu mahu jumlah anggota tentera dikurangkan daripada 8,735 kepada 4,050 pada  Jun 2019 ketika mengurangkan pasukan polis kepada 1,870 daripada tahap sekarang 2,500.

“Situasi di Darfur telah berubah secara dramatik lebih baik sejak kemuncak konflik,” kata Lacroix.

Tentera pengaman PBB sekarang akan menumpukan usaha mereka di kawasan Jebel Marra, di mana pertempuran berterusan antara tentera kerajaan Sudan dan kumpulan pemberontak.

PBB telah dijadualkan untuk mengundi pada 28 Jun bagi pengurangan terbaharu yang dicadangkan kepada UNAMID ketika ia memperbaharui mandat bagi pasukan tentera pengaman.

Konflik di Darfur meletus pada 2003 apabila pemberontak bangkit menentang kerajaan Sudan. Sejak beberapa tahun ini, paras keganasan telah menurun dengan ketara di sekitar Darfur, dengan Khartoum menegaskan konflik sudah berakhir di wilayah itu.

Dikerahkan pada 2007, UNAMID pernah mempunyai 16,000 anggota untuk melindungi orang awam.

Pada tahun lepas, PBB bersetuju bagi pengurangan dua peringkat yang mengurangkan tentera daripada 13,000 kepada 11,400 dan kemudian kepada 8,735 pada hujung Jun tahun ini. — AFP