Anda di sini

PAKK Bintulu hulur sumbangan kepada ibu tunggal, anak yatim

Advertisement
 Penerima sumbangan merakam gambar kenangan bersama penganjur.
TERIMA KASIH: Penerima sumbangan merakam gambar kenangan bersama penganjur.

PUSAT Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) Bintulu tidak lupa nasib golongan ibu tunggal dan anak-anak yatim dengan mengadakan Majlis Berbuka Puasa di PAKK Bintulu, Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Sebiew di Bintulu baru-baru ini.

Majlis itu dihadiri Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Bintulu, Shah Hazizul Johari mewakili Pegawai Daerah Bintulu.

“Terima kasih kepada PAKK Bintulu kerana menganjurkan program bermakna untuk golongan yang kurang bernasib baik seperti anak-anak yatim dan ibu tunggal ini,” kata Shah Hazizul.

Katanya, melalui program seumpama ini golongan terbabit merasakan diri mereka dihargai dan diambil berat.

Terdahulu, Pengerusi PAKK Bintulu Janudin Ab Rahman berterima kasih kepada Hazizul merasmikan program itu.

“Penghargaan juga kepada Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Datuk Talib Zulpilip dan Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing serta Pengurus MDS Kemena menyumbang hamper dan hadiah kepada ibu tunggal dan anak-anak yatim,” katanya.

Beliau berkata, program tersebut bertujuan mengeratkan silaturahim antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PAKK Bintulu dengan masyarakat setempat.

Katanya, seramai 12 ibu tunggal serta 15 anak-anak yatim menerima duit raya dan hamper pada majlis itu.

“Kami berharap sumbangan itu dapat membantu penerima menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti dengan ceria,” katanya.

Pada 1 Julai, pihaknya dengan kerjasama Unit Sukarelawan JKM Bintulu, KRT Sebiew dan KRT Kampung Kemunting menganjurkan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri dan Hari Gawai di Bangunan Martabat Bintulu.

Turut hadir Pegawai JKM Bintulu Catherine Machop, Penolong Pegawai JKM Bintulu merangkap Penyelaras Pasukan Pelindung Kanak-Kanak Farizah Mohd Tudin, Pengersi Sukarelawan JKM Bintulu, Kaderi Yusof dan tetamu lain.

Advertisement