Anda di sini

Mesej Pelancongan disambut baik pengusaha eko pelancongan luar bandar

Advertisement

KOTA KINABALU: Pengusaha pelancongan negeri Sabah menyambut baik inisiatif kerajaan negeri untuk memperkenalkan Mini Estet Sejahtera Kampung (MESEJ) Pelancongan di negeri ini.

Presiden Persatuan Homestay Sabah Djuanis Mogirong berkata, langkah itu tepat pada masanya dan wajar disokong semua pihak dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar.

Katanya, usaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperkenalkan program Mesej Pelancongan amat dialu-alukan selain memberi tumpuan kepada penambahbaikan kemudahan asas luar bandar seperti jalan raya.

DJUANIS
DJUANIS

“Bagi kawasan Kadamaian, eko pelancongan dan homestay sudah beroperasi lebih awal di sini. Oleh itu, saya mencadangkan agar kementerian dapat melaksanakan program-program latihan, promosi dalam talian dan membantu dari segi pemasaran.

“KPLB boleh bekerjasama dengan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan lain-lain persatuan pelancongan untuk mencari jalan bagaimana memastikan industri pelancongan terutamanya inap desa terus berkembang,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, pusat maklumat pelancongan juga wajar diwujudkan di setiap daerah selain menyediakan latihan.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Pelancongan Kadamaian (KATA) Rozie Jumat berkata, usaha itu dilihat sebagai satu pembaharuan yang dapat memberi manfaat kepada rakyat luar bandar khususnya pengusaha eko pelancongan.

ROZIE
ROZIE

“Seperti yang kita tahu, di kawasan luar bandar terutamanya di Kadamaian Kota Belud dikenali sebagai ‘the paradise side of Mt Kinabalu’ kaya dengan alam semula jadi, keunikan kebudayaan dan cara hidup masyarakat kampung yang boleh diketengahkan kepada para pelancong luar.

"Maka sebarang usaha untuk memajukan pelancongan melalui Program Mesej amat kita alu-alukan,” katanya.

Katanya, sebelum ini tumpuan program Mesej lebih kepada program membasmi kemiskinan melibatkan penanaman sawit dan getah, namun pembaharuan itu pastinya akan menjanjikan masa depan yang lebih baik kepada penduduk luar bandar.
 
“Bagaimanapun kami menghadapi pelbagai cabaran antaranya, keadaan jalanraya yang tidak begitu baik.

“Sebagai persatuan milik komuniti, kami memulakan usaha mengembangkan eko pelancongan di kawasan ini dengan bergotong-royong membina pondok teduh dan sebagainya,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement