Anda di sini

Lelaki curi radiator, kena penjara 14 bulan

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang mencuri sebuah radiator mesin jengkaut milik sebuah syarikat, dikenakan penjara 14 bulan, oleh Mahkamah Majistret di sini.

Munalidin Musadi, 26, yang tidak diwakili peguam dijatuhkan hukuman itu, selepas mengaku bersalah mengikut Seksyen 379A (1) Kanun Keseksaan.

Hukuman yang diperuntukkan, penjara minimum setahun dan maksimum tujuh tahun, serta boleh dikenakan denda.

Tertuduh mencuri radiator berkenaan milik Syarikat Ibarat Murni Sdn.Bhd, pada 4 Jun, jam 2 pagi di kawasan projek penggalian Sungai Sugut, daerah Penampang.

Mengikut fakta kes, pengadu seorang penyelia berusia 31 tahun, menerima panggilan daripada pekerja yang melihat seseorang mencuri komponen mesin terbabit.

Pengadu bersama para pekerja yang lain bergegas ke tempat kejadian, ketika sampai beliau melihat sebuah kenderaan yang sedang bergerak.

Mereka kemudiannya menghalang kenderaan terbabit dan berjaya menahan tertuduh. Tertuduh seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Semasa rayuan, Munalidin yang mendakwa hanya mempunyai sijil lahir memohon tempoh hukumannya disingkatkan.

Stephanie memerintahkan tertuduh menjalani pemenjaraan bermula dari tarikh tangkap, setelah itu dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk menyemak status kewarganegaraan.

Dalam kes berasingan, dua lelaki tempatan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencuri beg sandang bernilai RM180 milik seorang lelaki.

Mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 2 Julai terhadap S.Jazzid Shah S Ismail, 26, dan Mohd Azizul Arief, 22, yang masing-masing diwakili peguam Farazwin Haxdy.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 379 kanun sama, dengan niat bersama melakukan kesalahan itu pada 25 Mei di tepi jalan Bandar Sierra, di sini.

Sementara menunggu kes selesai, mahkamah memberikan ikat jamin diberikan sebanyak RM2,500 yang dicagarkan dua penjamin tempatan.

Kedua-dua pendakwaan terbabit dilakukan Pegawai Pendakwa Insp Suzie@Stephanie Kupit.

  • oleh
  • Advertisement