Anda di sini

KPDNKK Bintulu rampas barangan harga terkawal bernilai RM2,414

 Pegawai penguat kuasa KPDNKK Bintulu menjalankan pemeriksaan di sebuah premis niaga.
PERIKSA: Pegawai penguat kuasa KPDNKK Bintulu menjalankan pemeriksaan di sebuah premis niaga.

BINTULU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Bintulu merampas sejumlah barangan harga terkawal bernilai RM2,414 daripada enam pemilik premis di sini yang gagal mematuhi penguatkuaaan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Hari Raya 2018 semalam.

Ketua Penguat Kuasa KPDNKK Bintulu Salihin Den menyifatkan semua pemilik premis turut dikenakan kompaun RM800 yang dibayar serta-merta sebelum barangan dikembalikan semula.

“Semua pemilik premis diambil tindakan atas kesalahan berkaitan tidak meletakkan tanda harga pada barang jualan, gagal menentuhsahkan semula alat timbang atau tidak mematuhi Perintah 2(1) Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan) Harga Barang Harga Terkawal (no.2) 2018,” katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, KPDNKK turut menjalankan Ops Catut 4.0 di kawasan Batu 5 dan Sibiyu Jaya merangkumi pemeriksaan tanda harga, alat timbang dan sukat serta undang-undang SKHMP.

Dalam perkembangan berkaitan turut diadakan pemantauan Premis ‘Point Of Sales’ bagi Projek Pengedaran Bekalan dan Penyeragaman Harga Barang Tahun 2018 di Zon Sera, Semebak, Jepak dan Kuala Tatau.

Mengenai Ops Catut 4.0, Salihin berkata pemeriksaan dijalankan ke atas tiga premis niaga mengenakan kutipan GST dan premis terbabit menurunkan harga kepada sifar peratus.

KPDNKK buat masa sekarang masih memberi peluang kepada premis niaga masih dalam proses mengemas kini tanda harga terhadap setiap barangan jualan berkaitan perubahan harga.

Beliau berharap setiap pemilik premis niaga mematuhi arahan pemansuhan sifar peratus GST serta mematuhi SKHMP Raya Puasa 2018 dikuatkuasakan 15 hari dari 8 hingga 22 Jun ini.