Anda di sini

Ke Amerika Utara atau kembali ke benua Afrika?

Advertisement
 Orang ramai tertarik melihat maskot Piala Dunia 2018, Zabivaka yang di letakkan di laluan utama di Stadium Saint Petersburg, Rusia  kelmarin. — Gambar Reuters
COMEL: Orang ramai tertarik melihat maskot Piala Dunia 2018, Zabivaka yang di letakkan di laluan utama di Stadium Saint Petersburg, Rusia kelmarin. — Gambar Reuters

MOSCOW, Rusia: Anggota badan induk bola sepak dunia (FIFA) hari ini akan memilih sama ada Piala Dunia 2026 akan berlangsung di Amerika Utara atau kembali ke benua Afrika buat kali kedua di Maghribi.

Pilihannya jelas – di antara bidaan selesa dengan stadium besar di Amerika Syarikat (AS) -Mexico-Kanada untuk bidaan bersama atau bidaan berani Maghribi berdasarkan kemudahan yang belum dibina.

Sehari sebelum sepak mula Piala Dunia 2018, anggota FIFA akan mengundi dalam satu kongres badan induk itu.

Bidaan Maghribi untuk 2026 hanya diluluskan untuk pengundian pada awal bulan ini walaupun laporan penilaian FIFA meletakkan stadium-stadium, penempatan dan pengangkutan di negara utara Afrika itu sebagai ‘berisiko tinggi’.

Laporan menyebabkan bidaan AS-Mexico-Kanada sebagai calon pilihan selepas mendapat perkadaran empat dari lima mata.

Maghribi hanya menerima 2.7 mata tetapi diluluskan ke proses pengundian walaupun mendapat ‘teguran’ dalam beberapa isu kritikal dalam bidaan mereka.

Satu kesimpulan FIFA dari pasukan tindakan khas bidaan (pemeriksa), memberi amaran bahawa “jumlah infrastruktur baharu yang sangat banyak diperlukan oleh bidaan Maghribi untuk menjadi kenyataan tidak dapat dijamin.”

Tetapi bidaan Amerika Utara diselubungi dengan kebimbangan undian mungkin menjadi satu referendum populariti Presiden AS, Donald Trump.

Isnin lepas, presiden bidaan, Carlos Cordeiro mengulangi pesanan yang beliau sentiasa keluarkan sejak beberapa bulan yang lalu – undi untuk kami, bukan Trump.

“Kami amat percaya bahawa keputusan ini akan dibuat berdasarkan merit,” kata Cordeiro kepada wartawan. “Ini bukan geopolitik, kita bercakap tentang bola sepak dan apa asasnya, pada akhirnya, ia tentang kepentingan bola sepak dan komuniti bola sepak. Kami tidak mempunyai sebarang kesan sampingan.”

AS tewas kepada Qatar pada bidaan 2022, yang dicemari dakwaan rasuah dan menumbangkan presiden FIFA, Sepp Blatter.

Pengkritik bidaan Maghribi juga menjelaskan hakikat di mana Piala Dunia 2026 akan merupakan kali pertama kejohanan melibatkan 48 pasukan berbanding 32 sedia ada, sekali gus memberikan ujian sukar buat tuan rumah terutama sekali penganjuran pertama kali.

Tetapi Maghribi masih menganggap mereka mempunyai satu peluang.

Mereka pernah mencuba dan gagal sebanyak empat kali, pada bidaan 1994, 1998, 2006 dan 2010 – tewas kepada Afrika Selatan untuk penganjuran pertama Piala Dunia di benua Afrika.

Maghribi mempunyai banyak sokongan dari negara-negara Eropah, ditambah dengan jarak yang hampir dengan benua Eropah dan juga kebanyakan negara Afrika, selari dengan permintaan dari ketua Gabungan Bola Sepak Afrika, Ahmad Ahmad.

Tetapi dua negara Afrika yang berbahasa Inggeris, Liberia dan Afrika Selatan, telah memberikan sokongan kepada bidaan Amerika Utara.

Presiden bidaan Maghribi, Moulay Hafid Elalamy berkata bidaan berdasarkan kepada keghairahan untuk bola dalam negara dan seluruh benua Afrika” dan berjanji bahawa semua bandar raya penganjur hanya kurang satu jam penerbangan.

Ketua bidaan Amerika Utara membalas dengan menjanjikan satu rekod keuntungan 11 bilion.

Cordeiro berkata: “Visi kami adalah mudah. Kami menawarkan FIFA satu peluang bersatu untuk menganjurkan Piala Dunia 2026. Kami amat percaya keputusan ini akan dibuat berdasarkan merit.”

Presiden FIFA, Gianni Infantino difahamkan memberikan sokongan kuat kepada bidaan Amerika Utara kerana tiga negara itu menyokong beliau untuk menjadi presiden pada 2016.

Walaupun penilaian FIFA sangat jelas memihak kepada bidaan Amerika Utara, ia tidak semestinya menyingkirkan Maghribi.

Pada 2010, penilaian FIFA menegur bidaan Qatar untuk 2022 sebagai ‘berisiko kesihatan kepada pemain, penonton dan pengadil” kerana cuaca panas pada bulan Jun dan Julai di rantau Teluk.

Qatar bagaimanapun mencipta kejutan dengan memenangi bidaan dengan FIFA kemudian mengubah tarikh kejohanan kepada dari bulan November ke Disember pada 2022.

Pemilihan dua hak penganjuran kepada Rusia pad 2018 dan Qatar 2022 yang dicemari rasuah menyebabkan FIFA merombak proses bidaan Piala Dunia.

Sebelum ini, hanya 24 anggota jawatankuasa eksekutif FIFA mengundi calon tetapi sekarang semua 207 anggota boleh memilih calon. — AFP

Advertisement