Anda di sini

Jazeman bakal sambut Aidilfitri di Litar Le Mans

Advertisement
 Pelumba Jackie Chan Racing X Jota Team, (dari kiri) Nabil Jeffri, Jazeman dan Weiron Tan ketika Majlis Sesi Perkenalan Media 24 Hours of Le Mans dan Majlis Iftar Litar Antarabangsa Sepang, Kuala Lumpur pada 30 Mei lepas. — Gambar Bernama
HARAPAN NEGARA: Pelumba Jackie Chan Racing X Jota Team, (dari kiri) Nabil Jeffri, Jazeman dan Weiron Tan ketika Majlis Sesi Perkenalan Media 24 Hours of Le Mans dan Majlis Iftar Litar Antarabangsa Sepang, Kuala Lumpur pada 30 Mei lepas. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Pelumba negara, Jazeman Jaafar mengorbankan sambutan hari raya Aidilfitri tahun ini apabila akan beraksi pada penampilan sulung perlumbaan berprestij Le Mans 24 Jam di Paris pada 16 dan 17 Jun.

Beliau bersama dua orang lagi rakan sepasukan iaitu Nabil Jeffri dan Weiron Tan melakar sejarah sebagai trio pertama dari negara ini yang akan beraksi bersama pasukan Jackie Chan DC Racing menggunakan jentera #37 Oreca pada raya kedua (di Malaysia) di perlumbaan berkenaan.

Menurut Jazeman yang sudah biasa menggalas tugas untuk berjuang demi negara pada hari perayaan, beliau berharap pengorbanannya kali ini membuahkan hasil yang lumayan untuk sekali gus mengharumkan negara di persada antarabangsa.

“Sebelum ini pun saya pernah menyambut hari raya Aidilfitri di luar negara iaitu semasa menyertai Kejuaraan F3 tiga empat tahun lalu.

“Tetapi kali ini lebih istimewa kerana ibu saya akan turut serta bersama saya di Litar Le Mans, Paris...jadi tak adalah sayu sangat,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, rakan sepasukan, Nabil yang turut bersama menyambut perayaan di sana berkata beraksi sebagai satu pasukan dari Malaysia membuatkannya tidak sabar untuk memulakan perlumbaan.

“Dapat bekerjasama dengan dua lagi pelumba dari Malaysia, saya rasa persefahaman kami sudah baik dan sangat serasi.

“Harapan saya pada perlumbaan kali ini adalah untuk berjaya menghabiskannya kerana ia adalah perlumbaan selama 24 jam dan saya mahu mengutip seberapa banyak pengalaman untuk digunakan pada masa akan datang,” katanya.

Penyertaan  trio pelumba negara ke perlumbaan berkenaan juga dianggap satu pengiktirafan kerana bukan semua pelumba layak beraksi di Le Mans 24 Jam dan ia hanya melalui jemputan berdasarkan merit dalam perlumbaan siri yang lain.

Untuk rekod, kejayaan Jazeman, Weiron dan Afiq Ikhwan Yazid muncul juara di kejohanan Siri Perlumbaan Le Mans Asia di Buriram, Thailand pada Januari lepas, membolehkan mereka menerima jemputan untuk berlumba pada Le Mans 24 Jam. — Bernama

Advertisement