Anda di sini

Jalinan hati, bertaut kasih

Advertisement

30 ahli Kelab SRIM UMS sertai aktiviti Permata Hati Mahasiswa Berintegriti Siri III

KOTA KINABALU: Pelajar dari Kelab Sekretariat Rakan Integriti Mahasiswa (SRIM), Universiti Malaysia Sabah menganjurkan aktiviti Permata Hati Mahasiswa Berintegriti Siri III, iaitu sebuah lawatan amal ke Rumah Anak Yatim dan Asnaf Kg. Langsat, Ranau baru-baru ini.

Lawatan amal ini adalah  antara salah satu aktiviti yang kerap dijalankan oleh Kelab SRIM, di mana ini merupakan lawatan siri ketiga.

Rombongan lawatan ini disertai oleh sekitar 30 orang ahli kelab SRIM yang diketuai oleh Pengarah Program, Nurashilah Athirah Samrah.

Objektif utama aktiviti ini adalah untuk membantu para peserta untuk mengenalpasti kebolehan diri.

KENANGAN semasa sesi fotografi setelah selesai Majlis Penutupan SRIM.
KENANGAN semasa sesi fotografi setelah selesai Majlis Penutupan SRIM.

Seterusnya, memupuk semangat kekitaan dan saling membantu dari segi emosi dan motivasi dalam kalangan ahli Sekretariat Rakan Integriti Mahasiswa dengan anak yatim yang terlibat.

Justeru itu, program ini secara tidak langsung juga menyemai rasa kasih sayang terhadap anak-anak yatim dan asnaf yang berada di rumah berkenaan.

Beberapa aktiviti menarik turut diadakan, dimulai dengan sesi perkenalan dan pembahagian kumpulan.

Setelah itu, aktiviti seperti 'Siapa Saya?'  dilaksanakan, di mana para fasilitator yang terlibat dapat mengetahui cita-cita adik-adik di sana serta dapat menaikkan semangat mereka untuk mencapai impian mereka.

Selain itu, aktiviti 'Lukisan Graf Kehidupan' juga turut dilaksanakan untuk menambahkan lagi motivasi, mencungkil bakat serta keyakinan mereka untuk mencapai impian hidup.

Di samping itu, menjelang tengahari, permainan 'Bola Beracun' diadakan untuk menghangatkan lagi suasana agar mereka dapat bersuka ria.

Setelah selesai aktiviti yang telah dinyatakan, acara Majlis Penutupan telah dirasmikan oleh Haji Hainin Abdullah Pengurus Rumah Anak Yatim dan Asnaf Kg. Langsat Ranau.

Di akhir program tersebut, persembahan nasyid telah disampaikan oleh para anak-anak rumah tersebut.

Sumbangan berupa makanan kering dan barang-barang keperluan harian turut disampaikan. Selain itu, program ini juga telah berjaya mengumpul dana untuk rumah anak yatim tersebut.

LUKISAN adik Mikhail dalam aktiviti Siapa Saya.
LUKISAN adik Mikhail dalam aktiviti Siapa Saya.

Sehubungan itu, antara hasil yang pihak penganjur telah berjaya kumpulkan adalah seperti pakaian dan buku terpakai.

Tambahan pula, program ini juga telah berjaya mendapat tajaan daripada F&N. Hasil daripada dana dan tajaan tersebut telah diserahkan kepada Haji Hainin, bagi kegunaan dan keperluan anak-anak di rumah berkenaan.

Menurut Haji Hainin, program ini mampu memberikan impak positif kepada sesiapa sahaja yang terlibat secara langsung mahupun tidak lansung samada dari pihak peserta dan Ahli Jawatan Kuasa yang mengambil bahagian.

Selain itu, kesemua anak-anak di rumah ini juga memerlukan kasih sayang seperti anak-anak lain, maka dengan lawatan ini serba sedikit akan menceriakan dan menggembirakan mereka.

Penganjur juga merakamkan penghargaan kepada Haji Hainin kerana sudi menerima lawatan daripada Kelab SRIM dan terima kasih kepada Penyelaras Kelab SRIM UMS, Harun Tambiri,

Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaysia Sabah di atas sokongan yang diberikan.

Secara keseluruhan, aktiviti ini memberi pendedahan kepada pelajar akan kehidupan anak-anak yatim dan asnaf yang berada di rumah tersebut seterusnya memupuk rasa kasih sayang dan belas kasihanke pada mereka.

  • oleh
  • Advertisement