Anda di sini

I-Berhad dan visa memeterai perkongsian pembayaran digital i-City

Advertisement
 Haslina (tiga, kanan) hadir menyaksikan perjanjian kerjasama strategik bagi melaksanakan konsep bandar pintar di Malaysia antara I-Berhad dengan Visa Worldwide di i-City semalam. Turut hadir Lim (tiga, kiri), Eu Hong (kanan), Tey Siew (dua, kanan), Mandy Lamb (dua, kiri) dan Ng Kong (kiri). — Gambar Bernama
KERJASAMA: Haslina (tiga, kanan) hadir menyaksikan perjanjian kerjasama strategik bagi melaksanakan konsep bandar pintar di Malaysia antara I-Berhad dengan Visa Worldwide di i-City semalam. Turut hadir Lim (tiga, kiri), Eu Hong (kanan), Tey Siew (dua, kanan), Mandy Lamb (dua, kiri) dan Ng Kong (kiri). — Gambar Bernama

SHAH ALAM: I-Berhad telah memeterai perkongsian strategik dengan Visa Malaysia bagi mendigitalkan sistem pembayaran di pembangunan hartanah i-City, yang merupakan destinasi pelancongan popular di Selangor.

Kerjasama bagi memodenkan sistem-sistem pembayaran elektronik di i-City merupakan batu loncatan yang penting untuk pembangunan hartanah itu.

Timbalan Pengerusi Datuk Eu Hong Chew, berkata perkongsian strategik dengan Visa adalah selaras dengan program pendigitalan strategik syarikat yang kritikal bagi memupuk komuniti pintar i-City termasuk menyokong hala tuju strategik e-dagang kebangsaan.

“Penggunaan pembayaran digital juga dirangka bagi mengurangkan sistem  pembayaran konvensional. Walaupun pembayaran secara elektronik di Malaysia masih di peringkat permulaan, kadar penembusan pembayaran digital dan dompet elektronik akan meningkat pada tahun-tahun akan datang,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani perjanjian perkongsian strategik itu di sini semalam.

Perjanjian tersebut telah ditandatangani oleh Eu dan Pengarah Eksekuti Puan Sri Tey Siew Thuan manakala Visa telah diwakili oleh Pengurus Negara, Rantau Asia Tenggara Kumpulan Visa Mandy Lamb dan Pengurus Negara Visa Malaysia Ng Kong Boon.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua  Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (Pelancongan) Haslina Abdul Hamid dan Pengerusi I-Berhad Tan Sri Lim Kim Hong.

Menurut Lamb lagi, pembayaran tanpa sentuh juga telah berkembang dengan ketara di Malaysia dengan lebih daripada tiga juta Visa tanpa sentuh merekodkan pertumbuhan dua angka bulanan dan dari tahun ke tahun yang kukuh.

“Dengan mendigitalkan  sistem  pembayaran  di i-City dalam beberapa tahun akan datang, ia akan menggalakkan lagi penggunaan pembayaran secara elektronik di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Haslina berkata dunia telah berubah dengan pesat, terutamanya dalam sektor pelancongan dan pelancong hari ini sudah semakin bijak dalam penggunaan teknologi khususnya dalam media sosial, aplikasi telefon mudah alih dan platform e-dagang.

Oleh itu, Malaysia bukan sahaja perlu menyediakan tarikan destinasi yang baik tetapi juga prasarana serta perkhidmatan teknologi digital bagi kekal berdaya saing dalam perkhidmatan hospitaliti bertaraf dunia.

“Ramai pengunjung, terutama dari China telah menggunakan e-dagang dan pembayaran digital di negara mereka.

“Malaysia harus meningkatkan platform e-pembayaran dan menggerakkan negara ke arah masyarakat tanpa tunai memandangkan China, Korea Selatan dan Jepun adalah pasaran utama bagi sektor pelancongan.

“Saya gembira bahawa i-Berhad sedang bergerak ke arah ini dengan bekerjasama dengan Visa untuk mewujudkan persekitaran pembayaran tanpa tunai di i-City. Saya menyeru dan menggalakkan pengendali pelancongan yang lain bagi mempertimbangkan program seperti ini,” katanya lagi. — Bernama

Advertisement