Anda di sini

Ceroboh kedai runcit, lelaki dipenjara 20 bulan

Advertisement
 


KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan dikenakan penjara 20 bulan, oleh Mahkamah Majistret di sini, atas kesalahan menceroboh dan mencuri di dalam sebuah kedai runcit.

Sezine Frances, 22, mengaku salah memecah masuk ke dalam kedai milik Mohd Alfien Khan Mohd Alkaf, 42,  pada 13 Ogos 2016 jam 3 pagi, di Mini Mart Lot 1, Jalan Inanam Point, di sini.

Tertuduh mencuri dua telefon pintar, kad tambah nilai prabayar, rokok pelbagai jenama, empat unit lensa kamera dan sebuah dekoder milik mangsa.

Jika sabit salah mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, penjara selama tempoh lima tahun dan denda.

Sekiranya kesalahan itu bagi maksud menucuri, tempoh pemenjaraan boleh dilanjutkan sehingga 14 tahun.

Semasa rayuan, peguam Henry Gudid yang mewakili tertuduh berkata, anak guamnya seorang pesalah muda yang berasal dari Inanam.

Beliau memohon hukuman tertuduh diringankan, kerana sudah bercerai dan perlu menanggung seorang anak yang berusia tiga tahun.

Majistret Cindy Mc Juce Balitus memerintahkan Sezine menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap, pada 7 Mei.

Sementara itu, mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 12 Julai, terhadap seorang lelaki yang didakwa menceroboh rumah milik seorang wanita.

Keputusan itu dilakukan terhadap Mohd Shawal Justin Abdullah, 36, selepas mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 448 kanun sama.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 11 Mei jam 10 pagi, di sebuah taman perumahan, daerah Penampang.

Terdahulu, peguam Farazwin Haxdy memohon agar tertuduh diberikan jumlah ikat jamin yang rendah, sementara menunggu kes selesai.

"Tertuduh tidak bekerja perlu menanggung seorang isteri dan dua anaknya, masing-masing berusia 10 tahun dan 4 tahun," katanya.

Cindy memberikan ikat jamin sebanyak RM4,000 yang dicagarkan dua penjamin tempatan.

Pegawai Pendakwa Insp Albert Basirin melakukan kedua-dua pendakwaan terbabit.

Advertisement