Anda di sini

BERNAS bersedia jika monopoli dikurangkan

Advertisement
 Ismail ditemui pemberita selepas bertemu Majlis Penasihat Kerajaan di Kuala Lumpur semalam. — Gambar Bernama
SIDANG MEDIA: Ismail ditemui pemberita selepas bertemu Majlis Penasihat Kerajaan di Kuala Lumpur semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) sedia bekerjasama dengan kerajaan bagi mencari kaedah terbaik dalam mengendalikan sektor pengeluaran beras negara sekiranya cadangan mengurangkan monopoli BERNAS dilaksanakan.

Ketua Pegawai Eksekutif BERNAS Ismail Mohamed Yusof berkata bagaimanapun beliau berpandangan sistem sedia ada mencapai matlamatnya kerana sejak penubuhan BERNAS tidak timbul isu mampu diri selain harga beras di negara ini antara yang terendah di rantau ini.

“Bagi saya sistem ini berhasil. (Namun) Jika kerajaan mahu memecahkan monopoli kami akan bekerja bersama mereka dan lihat apa yang terbaik untuk negara dan paling penting untuk rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita di Menara Ilham, di sini semalam.

Ismail juga menegaskan peranan BERNAS dalam ekosistem pengeluaran beras negara masih relevan kerana sejak penubuhannya syarikat itu tidak pernah gagal memberi sokongan kepada pesawah.

“Jika pesawah keluarkan padi berpenyakit, kami masih beli daripada mereka sebagai sebahagian tanggungjawab sosial kami yang kerajaan  harus ambil kira,” katanya.

Beliau juga membidas sesetengah pihak yang terlalu memberi perhatian kepada hak mengimport beras BERNAS sehingga gagal mengambil kira masalah yang dihadapi oleh pesawah antaranya isu simpanan stok, agihan subsidi dan pembiayaan pengilang.

Isu BERNAS timbul apabila Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub dilaporkan berkata monopoli BERNAS dalam pengeluaran beras akan dikurangkan ketika beberapa pihak tampil menyarankan agar monopoli syarikat tersebut ditamatkan.

Ismail antara beberapa individu yang hadir di Menara Ilham semalam bagi memberi taklimat dan perkembangan terkini organisasi masing-masing kepada Majlis Penasihat Kerajaan.

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi Persatuan Penternak Ikan Laut Malaysia Mohamed Razali Mohamed  dan Presiden Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia Datuk Jeffrey Ng Choon Ngee. — Bernama

Advertisement