
KUCHING: Kejohanan Skuasy Terbuka Remaja Borneo CMS Ke-4 2018 menjadi platfrom penting kepada pemain remaja tempatan untuk mengasah bakat.
Presiden Persatuan Raket Skuasy Srawak (SRAS), Robert Lau Hui Yew berkata, Sarawak mempunyai ramai pemain remaja berpotensi namun kurang mendapat pendedahan kerana kurangnya penganjuran kejohanan kompetitif di sini.
“Kita selalu pegi ke tempat lain untuk bertanding pada kejohanan kompetitif yang tinggi. Biasanya, kita perlu terbang ke Semenanjung Malaysia, Hong Kong atau Singapura untuk bertanding.
“Itu sasaran kita untuk menjadikan Terbuka Remaja Borneo CMS ini sebagai kejohanan antarabangsa ternama agar pemain kita mendapat pendedahan,” katanya pada sidang media di Stadium Negeri, Petra Jaya hari ini.
Menurut Robert, pihaknya giat mempromosi kejohanan tersebut setiap tahun kerana mahu ianya dikenali dan berjaya meletakkan Sarawak di peta peminat sukan skuasy di seluruh dunia.
Jelasnya, peningkatan jumlah penyertaan kali ini membuktikan kejohanan tersebut semakin mendapat tempat bukan sahaja pemain dari Semenanjung Malaysia malah dari beberapa negara di Asia Tenggara.
“Kita mahu mempunyai kejohanan remaja siginifikan yang bukan sahaja dikenali di Asia Tengara tapi di seluruh dunia. Kita mahu pemain skuasy terbaik datang ke Sarawak untuk bertanding,” ujar beliau lagi.
Katanya, kejohanan yang disokong oleh Persekutuan Skuasy Asian akan dianjur secara ‘back to back’ dengan Terbuka Remaja Malaysia yang akan diadakan di Pulau Pinang dua hari selepas kejohanan tersebut.
Ia dianjur oleh SRAS dengan kerjasama Perbadanan Sukan Sarawak (PSS) dari 20 hingga 24 Jun ini bertempat di Pusat Skuasy Sarawak, Petra Jaya.
Edisi kali ini melibatkan penyertaan seramai 290 pemain dari 12 negara iaitu Malaysia, China, Indonesia, Belgium, Filipina, Korea, Hong Kong, Singapura, Pakistan, India, Iran dan Australia.
Sarawak mempertaruh seramai 100 pemain termasuk atlet SUKMA.
Ia mempertandingkan lima kategori iaitu remaja lelaki dan perempuan bawah 11, 13, 15, 17 dan 19 tahun dengan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM15,000.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif PSS merangkap Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Dr Ong Kong Swee.