Anda di sini

Rompak berkumpulan bersenjata, penggangur kena lapan tahun

 

KOTA KINABALU: Seorang penggangur yang melakukan rompak berkumpulan bersenjata di sebuah kedai runcit, daerah Kota Belud, dikenakan penjara lapan tahun.

Hakim Mahkamah Sesyen Azreena Aziz menjatuhkan hukuman itu terhadap Sukri Awang, 22, yang tidak diwakili peguam selepas mengaku bersalah.

Tertuduh dengan niat bersama Sahnizam Nair, 18, melakukan kesalahan itu pada 3 Jun jam 5.45 petang di Sudi Enterprise, Kampung Taun Gusi Peninting.

Mereka yang bersenjatakan sebilah pisau lipat, merampas wang berjumlah RM500 dan sebuah telefon pintar milik seorang wanita berusia 22 tahun.

Hukuman diperuntukkan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama, penjara selama tempoh 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Mengikut fakta kes yang dikemukakan Timbalan Pendakwaraya Wan Farrah Wan Ghazali, pengadu membuat laporan polis berhubung dua lelaki yang tidak dikenali merompaknya.

Salah seorang lelaki terbabit mengacukan sebilah pisau sambil mengugut, akibat takut beliau memberikan wang manakala telefon pintar miliknya dirampas.

Semasa rayuan, Sukri memohon hukumannya diringankan dan tempoh pemenjaraan bermula dari tarikh tangkap.

Bagaimanapun Wan Farrah menegaskan, hukuman berat harus dijatuhkan kerana melibatkan kepentingan awam dan senjata turut digunakan.

Azreena memerintahkan Sukri menjalani tempoh pemenjaraan berkenaan bermula dari tarikh tangkap, pada 3 Jun.

Sementara itu, mahkamah menetapkan pada 24 Julai untuk laporan akhlak terhadap Sahnizam, yang mengaku salah atas pertuduhan terbabit.

Ikat jamin diberikan sebanyak RM10,000 deposit RM5,000 dicagarkan dua penjamin tempatan, salah seorang haruslah ahli keluarga.

Tertuduh juga diperintahkan melaporkan diri di balai polis terdekat sekali dalam sebulan, jika gagal direman mengikut Seksyen 259 Kaedah Tatacara Jenayah.