Anda di sini

Parti komponen BN Sarawak bentuk Gabungan Parti Sarawak

Advertisement
Abang Johari ketika mengumumkan keputusan untuk keluar daripada BN.
Abang Johari ketika mengumumkan keputusan untuk keluar daripada BN.

KUCHING: Empat parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak hari ini mengumumkan keputusan untuk keluar gabungan tersebut dan membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Pengerusi BN Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata keputusan sebulat suara itu dicapai menerusi mesyuarat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

“Keputusan ini dicapai selepas perbincangan, penelitian dan pertimbangan selepas perkembangan politik negara susulan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“GPS akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan atas dasar kepentingan nasional dan hak negeri dan kepentingan berpandukan Perlembagaan Persekutuan dan Persekutuan Malaysia,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PBB.

Mesyuarat itu dihadiri para pemimpin empat parti terbabit.

Abang Johari yang juga Ketua Menteri berkata pucuk pimpinan empat parti itu percaya sekarang merupakan masa sesuai untuk Sarawak bergerak atas landasan politik baru agar terus bergerak ke hadapan sejajar dengan keperluan warga negeri ini yang memiliki berbagai kaum, budaya dan agama.

“Gabungan baru ini akan membolehkan kita memberi lebih tumpuan tentang kepentingan dan hak Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Advertisement