Anda di sini

Paip lama diganti baharu

Advertisement
 Abang Johari ditemani tetamu kehormat lain menyerahkan tangki air kepada penduduk Kampung Tanjung Kelaso, Sadong Jaya.
BANTU: Abang Johari ditemani tetamu kehormat lain menyerahkan tangki air kepada penduduk Kampung Tanjung Kelaso, Sadong Jaya.

SADONG JAYA: Penduduk di Asajaya, Sadong Jaya, Simunjan, Sebangan dan Sebuyau kini boleh menarik nafas lega apabila Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan RM150 juta bagi menangani masalah air di kawasan berkenaan.

Berita gembira itu diumumkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg selepas mendengar taklimat bekalan air daripada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pesantren Abdul Taib Mahmud semasa tinjauan mesra beliau ke Sadong Jaya di sini semalam.

“Apa yang telah kita putuskan hari ini (semalam) bahawa kita akan membina saluran paip baharu untuk semua kawasan tersebut yang mana ia akan menelan peruntukan sebanyak RM150 juta.

“Dan saya yakin bahawa pihak JBALB mampu melaksanakan projek ini dalam tempoh 18 bulan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas talimat berkenaan.

Abang Johari menambah, ia akan dilaksanakan menerusi beberapa pakej bagi membolehkan projek berkenaan dapat dilaksanakan dengan segera mengikut pakej tersebut.

Katanya sistem saluran paip baharu itu akan dibina di sepanjang jalan Kota Samarahan hingga ke Sebuyau dan mengambil sumber bekalan air dari Loji Rawatan Air Batu Kitang.

Malah, beliau menegaskan, satu jawatankuasa tugas khas juga akan dibentuk bagi memantau pelaksanaan projek berkenaan.

Bercakap pada penyerahan tangki komuniti dan individu di Kampung Tanjung Kelaso, Abang Johari berkata, beliau telah menjelajah beberapa tempat di Sarawak yang mengalami masalah gangguan bekalan air dan untuk itu jalan penyelesaian secara jangka pendek dan jangka panjang perlu diambil.

“Sekarang ini kita ada masalah air di Simunjan, Sadong Jaya, Asajaya, Sebangan dan Sebuyau dan nampaknya kita perlu menggunakan pendekatan baharu di mana kita tidak boleh bergantung kepada sistem saluran paip lama yang sudah berusia lebih 40 tahun.

“Bagi jangka pendek kita membina saluran paip baharu bagi kawasan ini dan untuk jangka panjang pula kita pada masa sama melaksanakan Sistem Grid Air yang menggunakan sumber air dari empangan yang ada,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah JBALB Sarawak Chang Kuet Shian dalam taklimatnya berkata krisis gangguan bekalan air di Asajaya, Sadong Jaya, Simunjan, Sebangan dan Sebuyau berlaku disebabkan kebocoran pada sistem saluran paip lama utama.

Jelasnya, untuk penyelesaian dalam jangka masa segera, pihak JBALB melaksanakan pintasan saluran paip di saluran utama agar kawasan terjejas dapat dipulihkan.

Beliau berkata kerja-kerja memasang pintasan saluran paip itu telah selesai dilaksanakan dan menjangkakan bekalan air akan kembali pulih seperti biasa sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Hadir sama pada tinjauan mesra itu Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Jalan Pesisir Datuk Julaihi Narawi, Menteri Muda E-Perdagangan Datuk Mohd Naroden Majais, Ahli Parlimen Batang Sadong Datuk Seri Nancy Shukri, Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang, ADUN Sadong Jaya Aidel Lariwoo, ADUN Simunjan Awla Dris, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Mohamad Abu Bakar Marzuki dan tetamu kehormat lain.

  • oleh
  • Advertisement