Anda di sini

Posa: Ke mana lesap wang RM91 juta?

Advertisement
 

KUCHING: Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais (gambar) mendesak beberapa pihak tertentu agar berhenti menggunakan nama FAS untuk kepentingan peribadi.

Menurut Posa, beliau mempunyai bukti kukuh berhubung penyalahgunaan nama badan induk berkenaan (FAS) oleh pihak tertentu termasuk pemimpin negeri.

Tegasnya, beliau tidak mempunyai pilihan lain kecuali terpaksa mendedahkan salah laku pihak terbabit demi menjaga imej dan maruah FAS.

"Sebagai Presiden FAS, saya mendesak pihak terbabit berhenti menjadikan FAS sebagai 'kambing hitam' untuk mengaut keuntungan peribadi.

"Selama ini, FAS cukup bersabar dengan tohmahan dan fitnah orang luar kononnya banyak penyelewangan berlaku dalam persatuan," kata Posa dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Sambil itu, beliau menuntut pihak yang dimaksudkan itu untuk menjelaskan ke mana lesapnya wang berjumlah RM91 juta yang diperolehi dengan menggunakan nama FAS dari tahun 2015 hingga 2016.

Menurut Posa, beliau mempunyai rekod pembayaran yang dibuat oleh pihak tertentu kepada FAS.

Tegasnya, beliau akan mendedahkan rekod berkenaan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar siasatan dalaman dapat dilakukan dengan segera.

"Sebagai Presiden FAS, menjadi tanggungjawab saya untuk menjaga imej dan maruah persatuan ini dari sebarang salah laku pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Saya sedar pendedahan ini tidak akan menyenangkan pihak terbabit namun ia perlu bagi mengekalkan FAS sebagai persatuan yang berintegriti," katanya lagi.

Dalam nada berbeza, Posa juga menuntut penjelasan lebih mendalam mengenai cadangan penstrukturan semula FAS seperti yang disuarakan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 8 Mei lalu.

Menurut Posa, cadangan penstrukturan semula tersebut kurang jelas dan mengelirukan beliau.

"Saya kurang jelas dengan cadangan penstrukturan semula tersebut dan mahu penjelasan yang lebih mendalam mengenainya," katanya.

Advertisement