Anda di sini

Ditimpa malang berganda

 Rubiah menyampaikan bantuan kepada Yak dan keluarga.
RINGANKAN BEBAN: Rubiah menyampaikan bantuan kepada Yak dan keluarga.

ASAJAYA: Sudah jatuh ditimpa tangga, itulah dugaan yang menimpa seorang warga emas yang kehilangan suami tersayang Ogos tahun lalu, kini hilang pula tempat berteduh selepas rumahnya musnah dalam satu kebakaran awal pagi kelmarin.

Mangsa, Yak Ismail berusia dalam lingkungan 70-an dari Kampung Serpan Laut di sini hanya mampu termenung mengenang nasib yang menimpa dirinya dan keluarga.

Pada Ogos lalu, Allahyarham suaminya, Lembong Pin berumur 75 tahun ditemui lemas selepas pencarian sembilan hari oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di Pasir Ambal, Kampung Serpan Laut, Asajaya,

Allahyarham dipercayai jatuh ketika pergi menangkap ketam menggunakan bot miliknya seorang diri di Pasir Ambal, Kampung Serpan Laut, Asajaya, Samarahan pada hari Rabu 16 Ogos 2017.

Lebih menyedihkan, insiden kebakaran yang berlaku sekitar jam 4 pagi kelmarin itu menyebabkan dia dan keluarganya tinggal sehelai sepinggang.

Prihatin terhadap nasib yang menimpa warga emas berkenaan, Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang tampil menghulurkan bantuan sebaik sahaja menerima berita tentang insiden kebakaran itu.

Dalam ziarah itu, beliau turut bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Daerah Asajaya dan PBB Asajaya menghulurkan bantuan berupa wang tunai dan barang keperluan kepada mangsa.

"Kita berusaha sedaya upaya membantu mangsa bagi meringankan beban mereka sekeluarga lebih-lebih lagi Hari Raya Aidilfitri akan tiba tidak lama lagi," kata Rubiah.

Sehubungan itu, beliau turut meminta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan persendirian tampil bersama-sama membantu mangsa dan keluarganya.

"Marilah kita bersama-sama tampil membantu untuk meringankan beban mereka.

"Salam takziah, dugaan menjelang Hari Raya, semoga mangsa tabah dan bersabar atas musibah yang tidak dijangka ini," tambahnya.

Pada masa sama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Serpan Laut mengambil inisiatif melancarkan Tabung Derma Kilat bagi menyalurkan bantuan segera kepada mangsa kebakaran.