Anda di sini

Tom Cruise buat terjunan langit 5 batu untuk filem ‘Mission: Impossible’

Advertisement

PELAKON Hollywood Tom Cruise pernah terjun dari bangunan, menggelongsor dari bangunan pencakar langit dan berpaut pada luar badan sebuah pesawat ketika ia berlepas dalam watak-wataknya sebagai hero filem aksi.

Sekarang dia boleh membuat dakwaan bahawa dia adalah pelakon pertama yang melakukan terjunan langit ‘HALO’ yang dirakamkan oleh kamera: terjunan “altitud tinggi, pembukaan rendah:, biasanya dilakukan hanya oleh profesional tentera terlatih sebagai satu cara untuk mengelak pengesanan oleh musuh.

Bintang berusia 55 tahun itu merakamkan aksi ngeri itu untuk ‘Mission: Impossible - Fallout’, filem terbaharu dalam siri filem aksi yang mengaut keuntungan tinggi di mana dia membawa watak ejen Ethan Hunt.

Dalam video yang dikeluarkan sebelum filem itu dikeluarkan pada bulan depan, Cruise terjun dari pintu kargo sebuah pesawat pada ketinggian 7,600 meter – hampir lima batu – dan membuka payung terjun kurang 600 meter dari bumi, menurut pembuat filem itu.

Untuk bersiap sedia bagi aksi ngeri itu, yang membawa risiko penyakit penyahmampatan, atau “the bends”, sewaktu dia jatuh pada kelajuan 320 batu sejam, Cruise berlatih dalam sebuah mesin angin yang dibina khas dan menggunakan topi keselamatan khas.

Cruise patah buku lali pada tahun lepas ketika dia merakamkan satu lagi aksi ngeri untuk ‘Mission: Impossible - Fallout’, apabila dia melompat di antara dua bangunan dan menghempap dinding. — Reuters

Advertisement