Anda di sini

Persiapan Aidilfitri punah

Advertisement
 Keadaan rumah mangsa ketika api marak.
TERBAKAR: Keadaan rumah mangsa ketika api marak.

ASAJAYA: Persiapan sebuah keluarga untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri punah selepas rumah mereka di Kampung Serpan Laut di sini musnah dalam kebakaran, awal pagi semalam.

Namun demikian, mujur ketika insiden sekitar jam 4 pagi itu, semua penghuni tidak berada di rumah.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak Tiong Ling Hii berkata, penghuni rumah itu dikatakan bermalam di rumah saudara semasa kejadian.

“Kami menerima panggilan pada jam 4.06 pagi sebelum mengatur gerak anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan ke lokasi.

“Setibanya di lokasi, kami mendapati sebuah rumah jenis separa kekal telah terbakar 100 peratus,” katanya.

Selain itu, Tiong berkata operasi memadamkan api turut dibantu penduduk kampung.

Difahamkan, rumah tersebut didiami empat individu terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan.

Setakat berita ini ditulis, maklumat lanjut berhubung mangsa kebakaran belum diperolehi secara lengkap.

Bomba katanya, masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran selain menganggarkan jumlah kerugian.

Advertisement