Anda di sini

Tindakan tegas jika ingkar

 Stanley (dua kanan) memeriksa tanda dan harga ayam yang dijual di Mydin Petra Jaya, semalam. Turut kelihatan Pengurus Cawangan Mydin Rethnasamy Naidu Krishnan (kanan).
PERIKSA: Stanley (dua kanan) memeriksa tanda dan harga ayam yang dijual di Mydin Petra Jaya, semalam. Turut kelihatan Pengurus Cawangan Mydin Rethnasamy Naidu Krishnan (kanan).

KUCHING: Tindakan tegas akan diambil ke atas peniaga yang gagal mematuhi Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SKHMP HRP) 2018 yang berkuat kuasa bermula semalam hingga 22 Jun ini.

Peringatan ini dibuat oleh Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Dato Stanley Tan pada sidang media selepas melancarkan skim tersebut peringkat negeri di Pasar Raya Besar Mydin Petra Jaya di sini, semalam.

Menurut Stanley, sebanyak 18 jenis barangan harga terkawal disenaraikan di bawah skim ini bagi seluruh Sarawak melibatkan 32 daerah.

Barangan ini katanya, merangkumi ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B dan C, daging lembu import, cili merah dan tomato.

Turut disenaraikan kubis bunga import, kelapa biji, kelapa parut, bawang merah kecil, bawang putih, bawang besar import, ubi kentang import, ikan kembung termasuk ikan mabung dan ikan selayang.

“Penentuan harga maksimum telah dibuat di peringkat pengeluaran (bagi ayam dan telur ayam), borong dan runcit dalam rantaian pengedaran mengikut kewajaran dan kesesuaian.

“Para peniaga diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditentukan oleh kerajaan dan meletakkan tanda harga khas merah jambu.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini,” tegasnya.

Sementara itu, mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 bagi kesalahan individu.

Manakala kesalahan yang sama melibatkan syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

Kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu pula boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 bagi kesalahan individu dan denda sehingga RM20,000 atau kompaun sehingga RM10,000 bagi kesalahan syarikat.

Aduan mengenai kesalahan peniaga boleh dibuat menerusi e-mel ke alamat e-aduan@kpdnkk.gov.my atau hadir ke mana-mana pejabat KPDNKK berhampiran.