Anda di sini

Di sebalik tumpahan minyak

Advertisement
 Kesan minyak petrol di permukaan air membawa kepada penemuan dua motosikal di dalam sungai di dermaga Ulu Lanang, petang kelmarin.
TIMBUL: Kesan minyak petrol di permukaan air membawa kepada penemuan dua motosikal di dalam sungai di dermaga Ulu Lanang, petang kelmarin.

SIBU: Kesan tumpahan minyak di permukaan air berhampiran sebuah dermaga di Jalan Ulu Lanang membawa kepada penemuan dua motosikal disyaki dicuri, petang kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Superintenden Martin Koo berkata, salah sebuah motosikal tersebut dilaporkan hilang Selasa lalu.

“Pasukan polis dari Balai Polis Lanang yang diketuai S/Insp Devaraj Subramaniam bersama anggota lain yang pergi ke lokasi kemudian mengesyaki ada sesuatu di dalam air memandangkan permukaan air terdapat kesan minyak petrol,” ujarnya.

Katanya lagi, pihak polis terpaksa menunggu hingga air surut sekitar jam 6.50 petang untuk mengenal pasti punca kesan minyak tersebut.

“Setelah menunggu air surut lebih tiga jam, teka-teki akhirnya terjawab apabila dua motosikal tanpa rim dan tayar berjaya dinaikkan,” jelasnya sambil menambah kedua-dua motosikal yang berlumpur dinaikkan ke darat dengan bantuan beberapa orang awam dan terus diperiksa.

Martin berkata, semakan yang dilakukan polis mendapati salah sebuah motosikal berkenaan dilaporkan hilang pada 5 Jun lalu, manakala sebuah lagi motosikal tiada laporan kehilangannya.

Katanya, kedua-dua motosikal tersebut kemudian dibawa ke Balai Polis Lanang untuk tindakan lanjut.

Martin berkata, pihaknya telah menghubungi pemilik motosikal hilang berkenaan untuk pengecaman dan mengesahkan ia adalah motosikalnya yang dilaporkan hilang sebelum ini.

Polis masih berusaha mengesan pemilik sebenar motosikal kedua untuk memaklumkan penemuan motosikal itu.

“Sehingga kini tiada tangkapan dilakukan berhubung dengan penemuan dua motosikal tersebut,” tambah beliau.

Tatkala penemuan dua motosikal terbabit, pasukan polis dari Balai Polis Lanang berjaya menangkap seorang lelaki yang dipercayai cuba mencuri besi di dalam kapal lama di sebuah dermaga di kawasan sama, petang kelmarin.

Martin berkata, suspek, 44, ditangkap ketika disyaki cuba mencuri dengan memotong besi di dalam kapal yang berlabuh di dermaga tersebut.

“Anggota Balai Polis Lanang bertindak menahan lelaki terbabit selepas mengesyaki dia (suspek) kelihatan mencurigakan ketika polis sedang sibuk mengendalikan kes dua motosikal yang ditemui di dalam air di lokasi sama,” ujar beliau.

Katanya, siasatan awal pihaknya mendapati lelaki tersebut tiada kaitan untuk berada di tempat tersebut, sebaliknya dipercayai cuba mencuri besi di dalam kapal lama berkenaan.

Lelaki terbabit kemudian diberkas dan dibawa ke balai polis untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Polis juga merampas beberapa peralatan untuk memotong besi yang digunakan suspek untuk melakukan jenayah curi di situ.

Martin berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana disyaki mencuri.

“Suspek menjalani tahanan reman pagi ini (semalam),” katanya ketika dihubungi semalam.

  • oleh
  • Advertisement