Anda di sini

Ahmad abdul rahman dilantik timbalan speaker dun sabah

Advertisement
 Ahmad mengangkat sumpah sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah di hadapan Tun Juhar di Istana Negeri Sabah semalam. — Gambar Bernama
PELANTIKAN: Ahmad mengangkat sumpah sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah di hadapan Tun Juhar di Istana Negeri Sabah semalam. — Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Datuk Ahmad Abdul Rahman semalam menerima watikah pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di Istana Negeri di sini.

Ahmad, 68,  yang telah berkhidmat sebagai peguam bela dan peguam cara di Sabah selama lebih 30 tahun mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan disaksikan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Datuk Martin Idang.

Turut hadir, isteri Yang di-Pertua Negeri Toh Puan Norlidah R.M Jasni.

Antara yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Madius Tangau dan Speaker DUN Sabah Datuk Syed Abas Syed Ali.

Pada 12 Mei lepas, Presiden Parti Warisan Sabah (WaARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Sabah ke-15 di Istana Negeri.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14,  Parti Warisan Sabah (WARISAN) memperoleh 21 kerusi DUN, manakala rakan-rakan WARISAN dari Pakatan Harapan (PH) iaitu DAP memperoleh enam kerusi dan PKR dua kerusi.

Bagaimanapun, jumlah kerusi DUN yang diperoleh WARISAN dan rakan politiknya dalam PH sebanyak 29 belum mencapai majoriti mudah untuk membolehkan parti itu membentuk kerajaan dan memerlukan kerusi tambahan lain.

Berikutan tindakan enam ADUN BN menyertai WARISAN, maka WARISAN  mempunyai kerusi mencukupi sebanyak 35 untuk membentuk kerajaan berasaskan majoriti mudah. —  Bernama

Advertisement