Anda di sini

Siri Jelajah ‘Jom Masuk Kampung’ rungkai masalah penduduk

Advertisement
 Awang Husaini (tiga kanan) menyampaikan raga makanan sumbangan Yayasan Afat Rahman kepada salah seorang penerima.
DEMI KESEJAHTERAAN: Awang Husaini (tiga kanan) menyampaikan raga makanan sumbangan Yayasan Afat Rahman kepada salah seorang penerima.

PUTATAN: Siri Jelajah ‘Jom Masuk Kampung’ Ahli Parlimen P.173 Putatan yang telah diadakan di beberapa kampung di kawasan Parlimen Putatan sejak bermulanya Ramadan lalu telah berjaya merungkai beberapa masalah penduduk yang perlu ditangani dan diperbaiki.

Antaranya keperluan membuka sebuah kelas KAFA di Kg Pulau Gaya, penempatan guru di Tadika JHEAINS di Kg Ulu Putatan, kerja baik pulih pendawaian elektrik koridor dan tangga Pangsapuri Tanjung Aru serta beberapa permasalahan lain.

Ahli Parlimen Putatan Awang Husaini Datuk Sahari sehubungan itu berjanji akan berusaha menangani, memperbaiki, meneliti permasalahan yang dikemukakan masyarakat di kawasannya dan berusaha semampu yang boleh untuk menyelesaikannya demi kesejahteraan rakyat keseluruhannya.

Beliau berkata demikian semasa berucap sempena Program Jelajah ‘Jom Masuk Kampung’ dan Majlis Berbuka Puasa bersama Ahli Parlimen Putatan di kampung halaman beliau di Kg Tebongon, di sini, yang berlangsung di balai raya kampung berkenaan pada Ahad.

Turut hadir pada majlis itu ialah Imam Masjid Jamek Putatan merangkap Imam Surau An-Nur Kg Tebongon Imam Haris Ahmad, Azizah Pg Awang Amit dan Wan Malizah Wan Mohammad Kumiti Yayasan Afat Rahman serta lebih 100 penduduk Kampung Tebongon.

Dalam pada itu, Awang Husaini meminta pemimpin peringkat kampung seperti ketua kampung dan pengerusi JKKK memaklumkan terus kepadanya sekiranya ada sebarang masalah atau keperluan yang diperlukan.

“Insya-Allah, saya akan cuba memberikan khidmat yang terbaik kepada seluruh rakyat di kawasan ini,” katanya.

Selain Kg Tebongon, program Siri Jelajah ‘Jom Masuk Kampung’ berkenaan sebelum ini telah diadakan di beberapa kampung dalam kawasan Parlimen Putatan antaranya Kem Lokawi, Kg Contoh, Kg Ulu, Pangsapuri Tanjung Aru, Kg Petagas dan Kg Tanjung Aru Lama.

Dalam majlis itu, Awang Husaini telah menyampaikan sumbangan daripada Yayasan Afat Rahman berupa barangan asas keperluan dapur kepada seramai 28 asnaf di kampung berkenaan.

Selain berbuka puasa bersama penduduk kampung, beliau telah bersama-sama menunaikan solat Maghrib di Surau An-Nur yang telah diimamkan oleh Imam Haris Ahmad.

Advertisement