Anda di sini

Perbetulkan pengurusan peruntukan HPPNS: Junz

Advertisement

KOTA KINABALU: Pengurusan peruntukan bagi penganjuran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sabah (HPPNS) perlu diperbetulkan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Junz Wong berkata, hampir setiap tahun jumlah peruntukan acara itu tidak pernah mencukupi untuk menampung perbelanjaan HPPNS.

JUNZ (kiri) ketika berucap menyampaikan amanat pada majlis itu. Turut kelihatan Daud (duduk kiri) dan Zulkifli (duduk, kanan).
JUNZ (kiri) ketika berucap menyampaikan amanat pada majlis itu. Turut kelihatan Daud (duduk kiri) dan Zulkifli (duduk, kanan).

Menurutnya, perkara itu menyebabkan baki hutang yang belum dijelaskan dibawa ke tahun berikutnya dan hutang berkenaan dibayar menggunakan peruntukan pada tahun semasa.

"Selepas menjalankan pemeriksaan, saya mendapati jumlah peruntukan HPPNS tahun ini sepatutnya RM700,000 tetapi hanya tinggal RM200,000 sahaja.

"Sedangkan sebarang perancangan untuk acara tahun ini belum lagi dibuat tetapi peruntukan hanya tinggal RM200,000.

"Ini sepatutnya tidak berlaku dan ia sesuatu yang perlu diperbetulkan," katanya ketika berucap menyampaikan amanat kepada warga kementeriannya di sini pada Khamis.

Beliau berkata, dalam tempoh dua tahun ini, pihaknya berharap dapat memperbetulkan isu terbabit.

"Peruntukan yang dibagi tahun ini sepatutnya digunakan hanya untuk tahun ini dan bukannya dibelanjakan secara berlebihan kemudian mencari duit untuk membayar balik hutang.

"Amalan seperti ini perlu dihentikan dan kita akan tetapkan supaya ia dapat diperbetulkan.

"Kenapa ia boleh berlaku tidak penting tetapi apa yang penting sekarang, kita kena mencari jalan untuk menyelesaikannya agar terus bergerak maju ke hadapan," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau juga berhasrat untuk membuat pembaharuan dengan memperkenalkan konsep medan selera (food court) bagi menggantikan operasi kantin di Wisma Pertanian.

Menurutnya, pengurusan kementerian sebelum ini tidak pernah mengenakan tindakan tegas kepada pihak kantin walaupun mempunyai tunggakan bayaran sewa mencecah RM188,000.

Justeru, beliau mengarahkan pemilik kantin berkenaan supaya menjelaskan hutang yang tertunggak dan jika gagal, perkhidmatan kantin berkenaan akan ditamatkan serta-merta bermula 15 Jun ini.

WARGA kementerian merakamkan kenangan bersama Junz (tujuh kanan) dan Daud (enam kanan) selepas majlis itu.
WARGA kementerian merakamkan kenangan bersama Junz (tujuh kanan) dan Daud (enam kanan) selepas majlis itu.

Sebagai penjawat awam katanya, menjadi tanggungjawab untuk memantau dan menyuarakan sebarang bentuk kelemahan atau kepincangan dalam sistem pentadbiran.

Junz turut merancang untuk membuka beberapa gerai yang diuruskan pemilik yang berbeza dengan pilihan menu yang pelbagai bagi menggantikan operasi kantin.

Turut hadir, Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Dr Daud Yusuf dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Zulkifli Harrith.

  • oleh
  • Advertisement