Anda di sini

Pemuda maut kelar leher sendiri

Advertisement
 

SANDAKAN: Akibat dilarang oleh ibu bapanya daripada mengikuti aktiviti Jemaah Tabligh, seorang pemuda maut selepas dipercayai mengelar dirinya menggunakan sebilah gergaji di Taman Nuri, Batu 7, di sini, lewat malam Rabu.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, mangsa berumur 19 tahun ditemukan terlentang dan berlumuran darah di bahagian belakang dapur rumah oleh bapanya.

Beliau berkata hasil pemeriksaan terhadap fizikalnya mendapati mangsa cedera parah pada bahagian leher dan badan akibat dikelar dengan gergaji sepanjang 30 sentimeter.

"Sebelum insiden, mangsa dikatakan mengalami kemurungan sejak tiga hari lalu selepas ibu dan bapanya melarang dia mengikuti aktiviti tabligh," katanya.

Difahamkan, mangsa merupakan salah seorang ahli Jemaah Tabligh yang aktif di sekitar daerah ini.

"Hasil siasatan awal turut mendapati mangsa telah dibawa ke Lapangan Terbang Sandakan untuk dihantar ke Kuala Lumpur untuk bekerja tetapi mangsa enggan dan terus pulang ke rumah.

"Bagaimanapun, selepas pulang mangsa tidak menunjukkan sebarang reaksi dan tidak mahu berbual sehingga dia dijumpai terbaring dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah sambil tangan kirinya masih memegang sebilah gergaji yang terletak pada bahagian dada," katanya.

Azhar berkata, pemeriksaan ke atas tubuh mangsa tidak menemukan sebarang kesan luka mahupun pergelutan.

"Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Duchess of Kent untuk proses bedah siasat," katanya sambil menambah, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

  • oleh
  • Advertisement