Anda di sini

Mkini gagal cabar Akta Anti-Berita Tidak Benar 2018

Advertisement

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Mkini Dotcom Sdn Bhd untuk mencabar Akta Anti-Berita Tidak Benar 2018, dengan memutuskan hak syarikat itu tidak terjejas kerana ia tidak didakwa dengan kesalahan  mengikut akta itu.

Hakim Datuk Azizah Nawawi membuat keputusan itu di kamarnya selepas membenarkan bantahan awal oleh Pejabat Peguam Negara terhadap permohonan Mkini Dotcom untuk kebenaran semakan kehakiman  bagi mencabar Akta Anti-Berita Tidak Benar 2018.

Dalam penghakimannya, Azizah berkata adalah satu perkara biasa apabila pemohon (Mkini Dotcom) yang memiliki dan mengendalikan portal dalam talian, yang dikenali Malaysia Kini, tidak didakwa atas kesalahan mengikut Akta Anti Berita Tidak Benar 2018.

Oleh itu, isu di sini ialah sama ada permohonan itu, langkah pendahuluan oleh pemohon untuk  menyerang akta berkenaan, adalah pramatang dan mengemukakan permohonan tanpa memerlukan  locus standi, katanya.

 “Dalam kes ini, memandangkan pemohon tidak didakwa atas sebarang kesalahan  mengikut Akta Anti-Berita Tidak Benar 2018, haknya tidak terjejas. Haknya hanya akan terjejas jika dia didakwa mengikut akta berkenaan, dan hanya di dalam keadaan sedemikian, dia boleh mencabar keperlembagaan akta tersebut.

“Untuk membenarkan permohonan di peringkat ini, akan merobohkan benteng bagi mana-mana litigan yang berani untuk mencabar keperlembagaan suatu undang-undang yang dia tidak suka,” katanya sambil menambah bahawa pemohon tidak mempunyai locus standi kerana cabaran itu adalah pramatang.

Beliau menolak permohonan itu dengan kos RM5,000.

Peguam Kanan Persekutuan Awang Armadajaya Awang Mahmud mewakili kerajaan dan Menteri Dalam Negeri sebagai responden manakala peguam N. Surendran dan Latheefa Koya mewakili Mkini Dotcom.

Mkini Dotcom memfailkan permohonan itu pada 27 April, memohon perisytiharan bahawa Akta Anti-Berita Tidak Benar  2018 adalah tidak sah dan terbatal kerana melanggar Perkara 5(1) dan Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 5 berkaitan dengan kebebasan individu manakala Perkara 10(1) berhubung kebebasan bersuara.

Surendran memberitahu pemberita bahawa Mkini akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu secepat mungkin. — Bernama

Advertisement