Anda di sini

KPLB perkenal Mesej Pelancongan

Advertisement

KOTA BELUD: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan memperkenalkan beberapa program baharu termasuk program Mini Estet Sejahtera Kampung (Mesej) Pelancongan bagi meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar.

Menterinya Ewon Benedick berkata, program itu diyakini dapat membantu memajukan industri pelancongan luar bandar, sekali gus mengetengahkan keunikan tarikan pelancongan di kawasan luar bandar negeri ini.

“Sambil mengangkat program-program sedia ada di KPLB, saya juga mahu memperkenalkan program Mesej Pelancongan.

EWON membuka pintu pejabat sebagai simbolik perasmian Pejabat Khidmat Adun Kadamaian.
EWON membuka pintu pejabat sebagai simbolik perasmian Pejabat Khidmat Adun Kadamaian.

“Kawasan pertama yang kita pilih untuk melaksanakan program ini ialah kawasan Kadamaian yang mempunyai potensi besar dalam industri pelancongan luar bandar dan kampung pertama yang saya kenalpasti untuk tujuan ini ialah Kampung Sayap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Pusat Khidmat Adun Kadamaian di Kampung Piasau, di sini pada Khamis.

Ewon yang juga Adun Kadamaian berkata, sebelum ini program Mesej sedia ada lebih tertumpu kepada pertanian iaitu sawit, hasil getah dan produk akuakultur.

Bagaimanapun katanya, para peserta Mesej boleh menjana pendapatan tambahan sekiranya kawasan mereka ditambah nilai menjadi pusat tarikan pelancongan berkonsepkan inap desa atau homestay.

Selain itu katanya, kementeriannya bercadang untuk memperkenalkan teknologi jalan raya berasaskan getah (rubberised road technology) yang digunakan di Thailand dan beberapa jalan di Semenanjung untuk membina jalan-jalan kampung di Sabah.

“Kita telah mengenalpasti jalan raya luar bandar pertama di Sabah untuk melaksanakan teknologi ini iaitu di Kampung Tambulaung Podos Kota Belud sepanjang dua kilometer.

“Lembaga Getah Malaysia (LGM) mempunyai teknologi ini. Saya akan memanggil diskusi terperinci melibatkan KPLB, LGM, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Pejabat Daerah Kota Belud selepas Hari Raya untuk membincangkan bagaimana ini boleh direalisasikan.

“Saya berpendapat kita perlu mencipta keperluan dalam negeri Sabah yang boleh mengangkat semula harga getah supaya para pekebun kecil kembali menoreh seterusnya meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.

Ewon berkata, kos teknologi ini sedikit mahal berbanding bahan binaan sedia ada, namun sebagai kerajaan pro-rakyat, ia berbaloi untuk diperkenalkan sebagai sebahagian penyelesaian terutama membela nasib puluhan ribu penoreh getah.

Mengenai Pusat Khidmat Adun, beliau memilih pejabat itu di kawasan luar pekan bagi memudahkan penduduk kampung bertemu dengannya, selaras konsep mesra rakyat.

EWON bergambar bersama para pemimpin masyarakat dan penduduk kampung yang hadir pada majlis itu.
EWON bergambar bersama para pemimpin masyarakat dan penduduk kampung yang hadir pada majlis itu.

“Kalau dulu, pejabat Adun dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) biasanya ditempatkan di pekan, tapi kali ini saya membuat sedikit perubahan supaya lebih mudah berurusan dengan penduduk Kadamaian,” katanya.

Beliau berkata perubahan itu penting bagi memperkemaskan lagi sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat selain memudahkan penduduk setempat menyuarakan masalah mereka kepada wakil rakyat.

Pejabat Pusat Khidmat Adun bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian terletak di Kampung Piasau, kira-kira 4km dari pekan Kota Belud.

Turut hadir, Pegawai Daerah Kota Belud Abdul Gari Itam, Pengerusi Kelab Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) DUN Kadamaian Jimmy Barukan dan pengerusi-pengerusi JKKK DUN Kadamaian.

Advertisement