Anda di sini

Gerald dalam senarai skuad B19 negara ke Piala AFF

Advertisement

KOTA KINABALU: Pemain pertahanan Piala Presiden Sabah, Gerald Gadit berjaya mendapat tempat dalam senarai akhir skuad bawah 19 tahun kebangsaan ke Kejohanan Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) 2018 Indonesia pada 29 Jun-15 Julai.

Pemain berasal dari Tenom itu adalah antara 23 yang terpilih daripada 27 pemain yang dipanggil menjalani sesi pemilihan dan latihan pusat kebangsaan sejak 20 Mei lalu di bawah kendalian ketua jurulatih, Bojan Hodak.

Selepas menjalani sesi pemilihan dan latihan pusat di Wisma FAM, skuad muda kebangsaan itu telah mengadakan kem latihan sambil mengadakan beberapa siri perlawanan di Thailand pada 30 Mei-4 Jun.

Ketua jurulatih skuad Piala Presiden Sabah, Johnny Dominicus ketika dihubungi mengenai pemilihan pemainnya itu berkata, beliau tidak terkejut kerana Gerald mempunyai pakej sebagai pemain yang boleh pergi jauh dalam bola sepak.

GERALD (kiri) beraksi untruk skuad bawah 19 tahun kebangsaan dalam salah satu perlawanan persahabatan di Thailand.
GERALD (kiri) beraksi untruk skuad bawah 19 tahun kebangsaan dalam salah satu perlawanan persahabatan di Thailand.

"Di padang dia ni pemain jenis `fighter', laju dan berdisiplin iaitu antara ciri yang perlu ada untuk pemain pergi jauh. Kita sudah melihat kartakternya ini sejak bersama pasukan bawah 19 tahun Sabah di bawah Jelius Ating tahun lalu.

"Tahun ini kita daftar dia di skuad Piala Presiden walaupun masih boleh didaftarkan di skuad bawah 10 tahun.

"Bagaimanapun dia sering dipinjamkan kepada skuad bawah 19 tahun jika tidak terlibat dengan jadual perlawanan Piala Presiden. Saya percaya bermain di Piala Presiden dan Piala Belia (bawah 19 tahun) telah membantunya maju lebih cepat," kata Johnny.

Johnny berkata, pemilihan Gerald dalam senarai akhir skuad kebangsaan itu adalah satu lagi kemajuan untuk dirinya sendiri dan ianya baik untuk Sabah.

"Sekurang-kurangnya dia boleh menjadi contoh kepada pemain-pemain muda lain, menyuntik motivasi mereka untuk turut berusaha mengikuti jejaknya.

"Bermain dengan skuad kebangsaan memberikan pendedahan terbaik kepada Gerald. Pengalamannya tentunya akan menjadi aset buat pasukan Piala Presiden kita dan mungkin juga skuad senior," katanya.

Johnny berharap pemilihan Gerald itu akan menjadi dorongan untuk lebih ramai pemain negeri ini mendapat tempat dalam skuad kebangsaan pada masa akan datang.

Johnny berkata, Gerald telah memberitahu bahawa pemilihannya dalam senarai akhir skuad kebangsaan membanggakan selepas mengharungi pemilihan yang mencabar.

"Pada awalnya saya gementar juga tetapi selepas perlawanan pertama, `ok' sudah," kata Gerald mengenai tiga perlawanan persahabatan di Bangkok, Thailand.

Gerald bermula sebagai kesebelasan utama pada perlawanan pertama dan ketiga manakala pada perlawanan kedua sebagai pemain gantian di separuh masa kedua.

  • oleh
  • Advertisement