KOTA KINABALU: First Education Centre (FEC) dilantik sebagai syarikat pertama yang akan berperanan sebagai ejen pengambilan pelatih Kolej Kemahiran Universiti Malaysia Sabah (KKUMS).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UiNVEST Ramlan Awang Ali berkata, usahasama antara KKUMS dan FEC akan dapat membantu melonjakkan jumlah pelatih yang melanjutkan pengajian di KKUMS dari semasa ke semasa.
"KKUMS yang terletak di Alamesra Plaza Utama, Kota Kinabalu komited dalam menyediakan peluang pendidikan dan latihan masyarakat di negeri ini dengan menawarkan program kemahiran untuk para belia berumur 16-45 tahun.
"Ini adalah selaras dengan objektif penubuhan KKUMS iaitu memberi pendidikan dan membantu memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat melalui peningkatan tahap kemahiran walaupun sekadar memiliki kelulusan darjah enam atau Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan setaraf kepada pemegang Sijil Kemahiran Malaysia sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi di negeri ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani perjanjian antara FEC dengan UMS Investment Holdings Sdn Bhd (UiNVEST) selaku pengendali tadbir urus KKUMS, di sini.
Sementara itu, Pengarah Urusan FEC Razif Matar berkata, pihaknya menyasarkan pengambilan pelatih dari mana-mana pelajar yang berjaya menamatkan pembelajaran sehingga peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tetapi tidak menerima tawaran untuk memasuki mana-mana universiti tempatan disebabkan tidak memenuhi syarat kelayakan.
"Rebutlah peluang ini kerana KKUMS adalah platform terbaik untuk golongan muda yang kurang cemerlang dalam pencapaian akademik meningkatkan taraf pendidikan dan kemahiran mereka," katanya.
Terdahulu, FEC berjaya mendaftarkan seramai 33 pelatih bagi kursus Pentadbiran Pejabat - Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2 selama enam bulan, dan Kursus Penyeliaan Pengurusan Pejabat Tahap 3 selama 12 bulan dengan pembiayaan penuh pengajian daripada dana kerajaan melalui Unit Perancangan Ekonomi Negeri Sabah (UPEN).
Justeru, mereka yang berminat untuk mendaftar program kemahiran boleh menghubungi FEC di talian 010-363 2182 atau datang terus ke pejabat KKUMS di Lot 64, Block K, Alamesra Plaza Utama, Jalan UMS, Kota Kinabalu.
Informasi lanjut berkaitan peluang pendidikan di KKUMS juga boleh diakses dengan menekan butang 'Like' pada laman Facebook rasmi UCPD.
KKUMS merupakan sebuah pusat latihan kemahiran yang telah mendapat pentauliahan dari Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia dengan No Kod Pusat L02216.